Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Malaysia mendesak kerajaan mengambil tindakan segera ke atas individu-individu yang dipercayai terbabit dengan kes penjualan MyKad membabitkan nilai RM350,000 kepada warga asing dari negara China.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, kerajaan juga perlu membuat pendedahan secara terbuka mengenai dalang di sebalik penglibatan kakitangan kerajaan terbabit serta membongkarkan lagi usaha pihak tertentu yang membawa masuk warganegara asing ke negara ini secara besar-besaran.

“Wanita UMNO Malaysia juga berpendapat bahawa berkemungkinan besar masih ada lagi sindiket lain membuat jenayah yang sama di luar sana dan orang ramai yang mengetahui sindiket ini juga perlu tampil ke depan dan memberi kerjasama supaya melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noraini berkata, kerajaan perlu tegas bertindak adil sepenuhnya berdasarkan kepada prinsip ‘rule of law’ demi menjaga integriti dan kakitangannya.

Tambah beliau, ia sebagai memberi isyarat tegas bahawa sebarang usaha buruk yang melibatkan integriti kakitangan kerajaan adalah suatu perkara yang tidak boleh dikompromi dan perlu dihukum dengan hukuman yang paling keras agar perbuatan jenayah seperti itu tidak berulang.

Dalam operasi khas minggu lalu, beberapa kakitangan dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang termasuk di Putrajaya ditahan mengikut Akta SOSMA.

Antara yang ditahan termasuk pegawai JPN Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat Jabatan Imigresen Pulau Pinang mengenai wanita warga China memiliki MyKad sah mahu membuat pasport Malaysia.

Penahanan itu susulan laporan yang dibuat anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri yang mengesan terdapat wanita warga China berusia antara 25 hingga 30 tahun yang memiliki MyKad sah cuba membuat pasport Malaysia.

Bagaimanapun, status kewarganegaraan wanita terbabit diragui sebelum imigresen bertindak membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Susulan itu, satu operasi sulit dilakukan PDRM sebelum membawa kepada penahanan beberapa individu dipercayai terbabit kes penjualan MyKad bernilai RM350,000.

Difahamkan, operasi sulit itu akan menahan beberapa lagi individu termasuk membongkar sindiket berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast