Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diiringi Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz meluangkan masa memeriksa lori pada Majlis Penyerahan Chiller Truck kepada Yayasan Food bank Malaysia dan Pengarah KPDNHEP Negeri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 12 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kekangan daripada segi perkhidmatan logistik untukĀ  menerima dan mengagihkan makanan Yayasan Food Bank Malaysia berakhir hari ini.

Ini kerana sebanyak 14 unit trak pendinding bagi tujuan pelaksanaan pengagihan makanan menerusi Food Bank kepada golongan B40 dan penerima 20 universiti awam negara ini telah dilancarkan operasinya secara rasmi di lobi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengenalan 14 unit trak dengan setiap satu yang boleh membawa muatan satu tan makanan bakal meningkatkan lagi proses penerimaan makanan hasil sumbangan pasar raya dan hotel.

Sejak program Food Bank diperkenalkan pada Ogos 2018 sehingga hari ini, katanya, sebanyak 650 tan makanan diperoleh dan 238, 000 penerima telah mendapat manfaat.

“Sudah tentu selepas pelanyerahan 14 unit pertama ini dengan hasil sumbangan di setiap negeri bakal menyaksikan lonjakan daripada segi sumbangan kepada Food Bank sebab dulu perkhidmatan logistik kami terbatas.

” da satu pasar raya bernama Astaka di Muar Johor tampil secara sukarela menyediakan trak mereka sendiri kepada Yayasan Food Bank untuk proses logistik pengagihan makanan ini.

“Ini sudah pasti akan meningkatkan kemudahan logistik yang sememangnya melancarkan pengagihan makanan seperti yang dijadualkan setiap hari,” tegasnya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tersebut di lobi kementeriannya hari ini.

Sebagai permulaan katanya, trak berkenaan dihantar ke KPDNHEP Terengganu, Selangor, Sabah dan Sarawak dan akan menyusul ke negeri-negeri lain secara berperingkat.

Menurutnya, wakil negeri akan mendapatkan barang barang daripada syarikat pembekal pasar raya dan hotel yang terlibat dalam program Food Bank sebelum pada hari yang sama akan diagihkan ke lokasi lokasi terpilih.

Di Selangor pula, katanya, beberapa perumahan PPR didiami komuniti B40 boleh mengambil barang-barang sama ada sayur, kek atau roti atau masakan lain pada hari yang sama dan ia langsung tidak melibatkan pusat pengumpulan atau orang tengah.

Dalam perkara ini, Saifuddin berkata, kementerian hanya menguruskan antara pembekal dan pengedar dan pengagihan juga melibatkan kampus-kampus terpilih menerusi dua model iaitu Food Pantry dan Dapur Berpusat.

“Di USM sahaja seramai 350 pelajar telah dikenalpasti untuk menerima bantuan Food Bank…maka buat masa sekarang lori akan diagihkan ke negeri-negeri.

“Dari segi jaminan kualiti makanan, sejak dilaksanakan tidak ada sebarang aduan makanan yang dianggap substandard.

“Ini kerana kami sangat mementingkan penyisihan antara baik dan kurang baik seperti mana kita layak menikmati makanan baik, begitulah kita berikan kepada orang yang memerlukan dan diharap ia kekal menjadi keutamaan kami,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette