Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), Waytha Moorthy meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga makanan di kantin sekolah semasa mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Sekolah Wawasan di USJ 15, Subang Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 13 SEPTEMBER 2019

SUBANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy mengakui konsep Sekolah Wawasan masih penting di negara ini untuk membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat yang bermula di peringkat usia kanak-kanak lagi.

Beliau berkata, sekolah yang diwujudkan sejak tahun 2000 itu adalah satu medium terbaik bagi membenihkan semangat perpaduan antara semua kaum dengan melakukan akiviti bersama.

Menurutnya, ia juga mengembangkan interaksi antara murid berlainan bangsa agar saling mengenali serta faham-memahami cara hidup dan budaya antara mereka.

“Ini kali pertama saya melawat Sekolah Wawasan dan amat kagum melihat konsep penyediaannya.

“Jika dahulu saya lihat Sekolah Wawasan dari luar, hari ini saya dapat masuk dan melihat sendiri aktiviti di dalam sekolah ini.

“Saya gembira kerana perpaduan memang wujud di negara ini menerusi Sekolah Wawasan,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), Waytha Moorthy bercakap pada sidang media selepas selesai mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Sekolah Wawasan di USJ 15, Subang Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 13 SEPTEMBER 2019

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kompleks Sekolah Wawasan USJ15 di sini hari ini.

Kompleks tersebut merupakan Sekolah Wawasan pertama yang menempatkan tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Onn Jaafar, SK Tun Tan Cheng Lock dan SK Tun Sambathan.

Mengulas lanjut, Wathya turut mengumumkan cadangan Sekolah Wawasan itu sebagai anak angkat Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Jelas beliau, ini kerana beliau melihat manfaat perpaduan yang diperolehi di sekolah itu perlu disebar dan dikongsikan di sekolah lain.

“Saya akan mengarahkan pihak jabatan untuk mengadakan mesyuarat susulan dengan tiga pengetua Sekolah Wawasan ini.

“Zaman saya dahulu, kita selalu lawat antara satu sama lain tanpa mengira kaun.

“Namun sekarang kita kena terima hakikat kurang pergaulan di kalangan anak-anak kita.

“Jadi Sekolah Wawasan penting kerana perpaduan masih boleh wujud di sini,” katanya. – MalaysiaGazette