Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (dua kiri) berbual mesra bersama Penerbit dan Pengarah filem Suatu Ketika : Langitkan Impianmu, Prakash Murugiah (kiri) ketika hadir menonton tayangan filem Suatu Ketika : Langitkan Impianmu di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Zaman filem yang menyelit adegan atas ranjang bagi menghiburkan penonton sudah berlalu.

Kini penonton disajikan dengan filem bermutu, kemasyarakatan dan mengangkat emosi perpaduan dan ia menerima sambutan baik.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berharap lebih banyak filem berkualiti seperti Suatu Ketika Langkitkan Impianmu yang mengetengahkan mutu, emosi dan soal kemasyarakatan diterbitkan pada masa depan.

Kata beliau, filem yang ditayangkan bermula malam tadi membawa mesej yang hampir sama seperti filem Iran bertajuk My Shoes yang pernah memenangi banyak anugerah di peringkat antarabangsa.

Bagi Mohamad, filem Suatu Ketika Langkitkan Impianmu amat menarik dan memenangi emosi kemasyarakatan yang berjaya mengetengahkan soal perpaduan dengan begitu unik sekali.

“Ia mendedahkan segala mesej dan saya tertarik. Pada kebiasaannya kalau saya tengok wayang tertidur tapi malam ini satu saatpun tidak boleh tidur.

“Saya ingin tahu what is next dalam filem tadi. kisahnya ringkas tetapi begitu menarik. Harap lebih banyak filem berkonsep sebegini dihasilkan pada masa hadapan.

“Sebab masyarakat kita ini bila sebut sahaja filem kalau nak tengok mesti ada adegan ranjang dan sedikit slot seksi… itu semua sudah berlalu sebenarnya dan orang sekarang tengok mutu filem emosi serta mesej kemasyarakatannya,” kata beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu kepada pemberita selepas menonton filem tersebut.

Filem berdurasi sejam setengah itu berkisar suka duka kehidupan ketika penjajahan Inggeris yang diselitkan dengan penyertaan Sekolah Kampung Ujong Pasir pada pertandingan bola sepak Piala JG Davidson ketika zaman penjajahan British.

Mengulas mengenai filem itu, Presiden Amanah itu berkata, pengarah filem berjaya mengetengahkan watak pelbagai bangsa yang berjuang untuk memenangi pertandingan bola sepak.

“Filem ini cukup baik menjawab persoalan ertinya perpaduan di antara rakyat yang berlaku sebelum merdeka dan sampailah sekarang.

“Sekarang kalau kita lihat cuma ada pihak tertentu yang bertindak melagakan terhadap kaum supaya boikot barang yang mana ini kerja kerja jahat yang perlu ditentang hebat oleh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Ditanya mengenai watak yang menyentuh emosi beliau, katanya watak guru-guru bersama murid serta watak Syukri dan adik perempuannya berbohong kepada ayahnya sehingga adiknya dirotan.

“Zaman kami dulu begitulah, yang ada salah ibu bapa rotan. Tadi dia tak tunjuk rotan itu baguslah. Tapi patutnya kena tunjukpun. Tapi itu digambarkan tahun 50an, itu cara mendidik anak anak sekolah.

“Bahagian tersentuh hati iaitu anaknya membohongi ayahnya untuk mengejar masa depan. Bukan itu bohong sunat, tapi kita lihat bapa dia mengetahui, tak dapat menahan air mata saat itu.

“Bapa memukul anak, ibu menangis dan cuba selamatkannya. Zaman saya macam itu juga. kalau ada kesan rotan ibu sapu minyak angin. itulah emosinya saya terkenang zaman kanak-kanak dulu,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette