Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Lambakan kediaman mewah bernilai RM100 bilion bukanlah berlaku sekelip mata tetapi sejak sekian lama akibat kegagalan kerajaan dahulu menjalankan tugas dengan bijak dan teliti.

Kerajaan dahulu didakwa memberi kelulusan membina rumah tanpa kajian impak yang betul dan tidak melakukan penelitian kepada data, yang akhirnya mengakibatkan ketidaksepadanan antara keperluan semasa dengan jenis rumah dibina.

Sehubungan itu, Datuk Seri Najib Razak diminta memahami isu sebenar perumahan sebelum menyindir Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam lambakan kediaman tidak terjual.

Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad berkata, cadangan menteri itu supaya lambakan rumah berkenaan dijual kepada pembeli Hong Kong dan China hanya bertujuan mencari jalan keluar yang tercipta dari zaman pentadbiran dahulu.

“Beliau bukanlah bertindak sebagai Menteri Perumahan Hong Kong atau China apabila mengutarakan cadangan itu, sebaliknya bertindak sebagai seorang menteri dan warga negara yang bertanggungjawab berusaha memastikan situasi ini tidak bertukar projek gajah putih dalam negara,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini.

Nor Hizwan percaya, sekiranya rumah-rumah mewah yang telah siap ini terjual, pemaju- pemaju hartanah terlibat dapat mencairkan modal yang beku dan kemudiannya boleh mengambil bahagian dalam membina pula rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia.

“Selain menarik aliran masuk wang ke dalam negara dan membantu pemindahan teknologi serta kepakaran ekspatriat yang masuk dengan kawalan melalui program Malaysia My Second Home (MM2H).

“Ia adalah congakan ekonomi mudah yang Najib gagal fahami,” katanya.

Semalam, Najib melalui hantaran di Facebook berkata, mogok yang berlaku di Hong Kong sekarang bukan kerana penduduknya tidak memiliki rumah.

Tetapi mereka membantah cadangan pelaksanaan Rang Undang-Undang yang membolehkan mana-mana penduduk wilayah ini diekstradisi ke China kerana bimbang kebebasan mereka akan tergugat.

Soal Najib: “Dia lawat ke Hong Kong tapi tak faham situasi semasa di sana?

“Entah kenapa Menteri ini salahgunakan alasan mogok ini untuk tolong pemaju hartanah mewah swasta untuk menjual rumah mereka di Malaysia kepada warga Hong Kong dan China,” kata Najib selepas Zuraida mempelawa pembeli China dan Hong Kong membeli kediaman di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast