LONDON – Perdana Menteri Britain, Boris Johnson bertindak menyamakan dirinya dengan karakter komik terkenal, ‘The Incredible Hulk’.

Agensi melaporkan, Johnson berkata demikian ketika dalam satu temubualnya dengan media di negara ini semasa bercakap tentang Kesatuan Eropah (EU) dan Brexit.

Johnson berazam tinggi untuk membawa keluar Britain dari EU pada 31 Oktober ini juga telah melakukan kejutan apabila bertindak menangguhkan Brexit dengan menghalang undian Parlimen baru-baru ini.

“Anda perlu tahu apabila semakin Hulk marah, maka dengan itu juga beliau (Hulk) akan menjadi lebih kuat, lagi marah lagi kuat. Hulk juga selalunya berjaya untuk melepaskan diri walaupun ketika telah diikat.

“Itu juga adalah situasi sama di negara ini, kita akan keluar pada 31 Oktober dan muktamad. Kita akan keluar,” katanya dalam temuramah itu.

Bulan lepas Parlimen Britain menolak Brexit tanpa perjanjian, yang menaikkan kemarahan ramai rakyat Britain yang mengundi menyokong penarikan diri daripada blok itu tiga tahun lalu.

Bagaimanapun kata Johnson, beliau merundingkan perjanjian baharu tanpa membabitkan ‘backstop’, yang berpotensi mengikat Britain tanpa rela dengan peraturan EU selepas Brexit dalam usaha mengelakkan pemeriksaan di sempadan antara Ireland dan Ireland Utara.

Johnson dikatakan amat yakin menjelang pertemuan dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker dalam sehari lagi.

“Ada perbualan amat, amat baik berterusan mengenai cara menangani isu sempadan Ireland Utara. Sebenarnya, satu kemajuan besar sedang dilakukan,” ujarnya.

Awal bulan lalu, Ketua Perunding EU, Michel Barnier menegaskan blok terbabit tidak akan mengubah perjanjian Brexit yang sebelum ini dipersetujui dengan bekas Perdana Menteri, Theresa May.

Elemen paling kontroversi dalam perjanjian itu mekanisme ‘backstop’ yang bertujuan untuk memastikan sempadan terbuka di Ireland Utara perlu dikekalkan walaupun berdepan bantahan Britain.

“Backstop adalah kelonggaran paling maksimum yang boleh ditawarkan EU kepada negara bukan anggota,” katanya.

Barnier menjelaskan, beliau tidak optimis tentang senario ‘tiada perjanjian’, namun beliau sedia meneliti segala jalan yang diberikan Britain yang bersesuaian dengan perjanjian itu. –MalaysiaGazette