Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (tengah) bersama peserta yang berpakaian tradisional berjalan menuju ke Dataran Merdeka pada Program Keretapi Sarong 2019 sempena Hari Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Fenomena jerebu tidak menjadi faktor penghalang kepada kebanjiran pelancong asing ke negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Cik, kemunculan jerebu di negara ini tidak langsung membawa masalah kepada pelancong tempatan mahupun antarabangsa untuk menikmati percutian mereka.

“Jerebu bukan satu faktor untuk menghalang pelancong datang ke Malaysia. Pada hari ini saya ingat orang kurang sebab berjerebu, tapi ramai yang turun ke program kami daripada tahun lepas.

“Saya rasa faktor jerebu tidak membawa masalah kepada pelancong luar untuk datang ke Malaysia,” katanya kepada media selepas majlis penutup Program Keretapi Sarong 2019 yang diadakan di Dataran Merdeka.

Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Dataran Merdeka sempena program itu, hari ini.

Program yang diadakan sejak 2012 itu turut disajikan dengan sukan rakyat seperti bola sepak kain sarong, gasing, tarik tali dan gusti lengan.

Tambah Muhammad Bakhtiar, pelancong-boleh menikmati kawasan-kawasan pelancongan lain selain ibu negara yang kini dilanda jerebu.

Antaranya, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi yang kini bebas daripada jerebu.

“Tidak semua tempat di negara ini yang berjerebu. Saya baru balik Langkawi dan Pulau Pinang, kawasan itu cerah dan tidak berjerebu.

“Kalau tidak mahu berada di ibu kota, pelancong boleh berada di tempat lain di Malaysia,” katanya lagi.

Jumaat lalu, lebih 1,000 penumpang terkandas selepas keadaan berjerebu menyukarkan operasi pesawat untuk berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Keseluruhan jumlah penumpang itu membabitkan 549 penumpang yang sepatutnya berlepas dari LTSAS menggunakan empat penerbangan, manakala 555 penumpang lagi yang dijadualkan mendarat.

Pesawat dari Scoot Airlines yang sepatutnya tiba dari Singapura terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar turut berkata tiada sebarang laporan negatif berhubung pelaksanaan levi pelepasan yang berkuatkuasa 1 September lalu.

“Levi perlepasan setakat ini tidak ada laporan negatif daripada pelepasan levi,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kerajaan memutuskan levi pelepasan dikekalkan dan kutipannya bermula 1 September lalu.

Dengan pengumuman terbaru itu, mereka yang terbang ke luar negara perlu membayar levi pelepasan antara RM8 dan RM150. -MalaysiaGazette