Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bercakap pada sidang media khas di Hotel Eastin, Petaling Jaya, Selangor. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 06 MAC 2017.

KUALA LUMPUR –Kenyataan berbaur dakwaan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang kononnya sentimen perkauman di negara ini akan menjadi lebih huru hara selepas kerjasama antara UMNO-Pas sebenarnya tidak lebih daripada retorik politik semata-mata.

Kit Siang juga mengandaikan selepas ini rakyat di Malaysia juga akan menyaksikan politik toksik mengaitkan agama dan bangsa meningkat ke satu tahap yang tidak pernah langsung dilihat dalam dunia politik negara ini.

Namun andaian itu tidak lebih daripada bahan gelak segelintir pihak termasuk netizen kerana bagi mereka DAP yang diterajui oleh Kit Siang itu sendiri didominasi oleh kaum Cina.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, walaupun diakui laungan DAP tentang berbilang kaum itu secara politiknya di negara ini amat tepat dan betul, namun dalam dalam parti itu sendiri tidak mencerminkan perkara tersebut.

“Biar saya beri peringatan di sini, DAP sedang ‘melalak’ ketika ini dengan slogan-slogan retorik tentang perpaduan berbilang bangsa. Mungkin betul dan tepat tentang betapa pentingnya hidup berbilang kaum dan bangsa ini.

“Tetapi pada masa yang sama, apakah justifikasi apabila hampir 95 hingga 97 peratus pengundi Cina telah memberikan undi mereka kepada DAP? Ini sekaligus memberikan persepsi slogan ‘negara berbilang kaum’ ini sebenarnya tidak lebih daripada satu ‘pembohongan’.

“Walaupun DAP sebenarnya mendakwa tentang tuntutan politik bukan perkauman.

“Anda semua tanya balik kepada Kit Siang, apakah sebenarnya kebaikan parti berasaskan kaum kerana DAP mendapat undi sebanyak 97 peratus dalam kalangan masyarakat Cina sendiri. Tanyalah Kit Siang sendiri,” tempelaknya.

Status itu mendapat pelbagai pandangan netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan pendapat beliau bukan sahaja dalam kalangan Melayu sebaliknya Cina dan juga India.

Masing-masing berpendapat sebenarnya walaupun laungan serta slogan ‘cantik’ menjadi perjuangan DAP namun ianya tidak lebih daripada itu malah statistik tidak akan sesekali ‘menipu’.

Semalam, Kit Siang melahirkan kerisauan serta kebimbangan sambil memberi bayangan apakah yang terjadi apabila UMNO dan Pas bekerjasama sambil mendapat restu daripada parti politik kaum seperti MCA dan MIC.

Kit Siang yang menulis dalam blognya pagi semalam juga melahirkan rasa bimbang yang tidak berbelah bahagi dengan penyatuan dua parti gergasi Muslim dengan membayangkan keadaan huru hara bakal menimpa negara tidak lama lagi. –MalaysiaGazette

Kit Siang risau perpaduan UMNO-Pas buat keadaan negara huru-hara

Kit Sing macam dirasuk hantu, kata Najib

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast