Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia (KBS) mengambil keputusan membatalkan Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) KOHORT 9 yang dijadualkan diadakan pada 18 hingga 27 September ini.

Mengikut jadual asal program berkenaan dirancang untuk diadakan di sembilan buah kem daripada 17 buah kem keseluruhannya.

Kenyataan Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) KBS berkata, tindakan itu adalah susulan daripada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar kawasan kem tersebut berada pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat.

Sembilan kem yang dimaksudkan adalah Kem Wawasan Negara Meru, Selangor; Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, Negeri Sembilan; Kem Wawasan Negara Alor Gajah, Melaka; Kem PLKN Sri Ledang, Tangkak, Johor; Kem Wawasan Negara Lipis, Pahang; Kem Wawasan Negara Bukit Sagu, Pahang;Kem Wawasan Negara Maran, Pahang; Outward Bound Lumut, Perak dan Kem Wawasan Negara Sampadi, Sarawak.

Pembatalan itu adalah selaras dengankenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan langkah-langkah kementerian bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid- murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal iaitu menghentikan aktiviti luar darjah dan menutup sekolah serta merta jika bacaan IPU melebihi 200.

KBS amat memandang serius berkenaan hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan serta kesihatan peserta.

Ia adalah kerana 60 peratus aktiviti MFLS dilaksanakan secara aktiviti luar (outdoor) yang boleh memberikan kesan buruk kepada tahap kesihatan peserta MFLS di kem tersebut dan terpaksa dibatalkan dengan serta merta.

Pihak i-LEAD memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh semua pihak terlibat.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.