KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menjadi peguam membela salah seorang yang didakwa terlibat dengan sindiket penjualan MyKad mengecewakan.
Itu kata Exco Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Kebangsaan, Mathis Sarawanan yang berpendapat tindakan wakil rakyat DAP itu sesuatu yang ‘tidak patut’.
Sambil mengakui kebenaran seseorang yang dihadapkan ke mahkamah tidak bersalah sehingga terbukti namun dalam kes itu ia dianggap berbeza.
Mathis yang juga Ketua Pemuda MIC Bahagian Bayan Baru berkata, tuduhan yang dilemparkan kepada tertuduh iaitu, Datuk Lai Chin Wah itu membabitkan tuduhan khianat kepada negara dan kes itu berkaitan dengan kedaulatan Malaysia.
“Saya tidak faham langsung sebenarnya, apa sebenarnya keperluan seorang wakil rakyat yang telah diundi dan diberikan kepercayaan tidak berbelah bahagi lagi-lagi dari parti pemerintah untuk melibatkan diri dalam kes besar dan amat sensitif seperti ini?
“Apa pandangan pengundi Parlimen Jelutong?
“Kalau ikut saya, lebih baik untuk Rayer yang selama ini banyak bercakap tentang keadilan serta pengkhianatan kepada rakyat ini supaya tidak terlibat dalam kes-kes begini, bukan satu keperluan pun.
“Banyak lagi kes lain YB, mengapa yang ini? Tolong sensitif sedikit,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mathis (gambar atas) mengulas laporan berita yang melaporkan Rayer yang mewakili tertuduh kedua, Datuk Lai Chin Wah memohon mahkamah membenarkan anak guamnya membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul, diludah dan dipaksa menandatangani dokumen tidak diketahui kandungannya ketika dalam tahanan polis.
Hakim kemudian membenarkan permohonan peguam tertuduh.
Terdahulu hari ini, pasukan pembelaan kes enam individu terbabit dalam sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta MyKad secara tidak sah kepada warga asing mengemukakan bantahan untuk tidak memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi, hari ini.
Peguam, Mohd. Hisham Mohd. Nazir yang mewakili Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Pulau Pinang, Mohd. Faizul Arifin memaklumkan kepada mahkamah untuk membantah permohonan itu ke Mahkamah Tinggi dan meminta kes dikekalkan di Mahkamah Sesyen.
Permohonan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Yusaini Amer Abdul Karim memohon kes enam individu itu didakwa di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dipindah ke Mahkamah Tinggi. –MalaysiaGazette