Pemain PKNS FC,Mahalli Jasuli mengawal bola sambil diasak pemain Terengganu, Lee Andrew Tuck (kiri) pada perlawanan Piala Malaysia antara pasukan PKNS FC menentang pasukan Terengganu di Stadium Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 17 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Terengganu melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas menjinakkan PKNS FC 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Dalam aksi terakhir Kumpulan A itu, kedua dua gol skuad penyu dijaringkan pemain import, Sanjar Shaakhmedov dan Tchetche Kipre.

Shaakhmedov mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit ke-4 menerusi rembatan kencang ke gawang lawan hasil hantaran Ashari Shamsudin.

Belum sempat skuad PKNS FC menyusun serangan balas, mereka sekali dikejutkan dengan gol Kipre lima minit selepas itu menerusi serangan balas.

Keputusan tersebut membolehkan Terengganu menghuni tangga kedua saingan kumpulan A.

Pada separuh masa kedua, pasukan tuan rumah mendapat peluang keemasan untuk merapatkan jurang namun penyudah yang lemah menghalanh usaha tersebut.

Dengan kemenangan itu, Terengganu akan berhadapan juara Kumpulan B, JDT pada peringkat suku akhir.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, pendahulunya Kedah  mengesahkan kemaraan ke suku akhir dengan menundukkan Negeri Sembilan 4-2 dalam perlawanan di Stadium Darul Aman.

Kedah telahpun layak ke suku akhir dengan menundukkan Terengganu 3-2 pada 14 September lalu.

Gol Kedah dijaringkan Farhan Roslan pada minit ke-18, Fernando Rodriguez pada minit ke-45, Fayadh Zulkifli Amin (minit ke-78) dan Edgar Bernhardt (minit ke-90).

Dua gol Negeri Sembilan hadir daripada Igor Luiz pada minit ke-34 dan Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-66.

Dalam aksi Jumpulan B, JDT yang telah layak se kuku akhir menundukkan UITM FC 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Bagaimanapun, The Southern Tigers dikejutkan dengan gol awal tuan rumah menerusi Zulkifli Zakaria pada minit ke-39.

Namun JDT bangkit menyamakan kedudukan 1-1 sebelum berhenti rehat.

Pada babak kedua, JDT menjaring gol kemenangan menerusi Fadhli Shas pada minit ke-59.