Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang mengagung-agungkan dan cuba memberi sokongan kepada pertubuhan pengganas seperti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata perbuatan itu amatlah tidak sesuai dengan negara ini.

“Sebenarnya perkara ini sudah lama (penyebaran video lama LTTE di media sosial) berlaku dan ia telah dibincangkan pihak atasan kementerian (Kementerian Dalam Negeri)… satu keputusan akan dibuat dalam tempoh terdekat berhubung perkara ini.

“Pihak polis akan siasat dan ambil tindakan yang sewajarnya kerana bukan sahaja penyebaran video lama ini, dan banyak kes-kes lama sebelum ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan terdapat pemimpin negeri dipercayai memberi sokongan terhadap pertubuhan pengganas itu yang tular di media sosial semalam.

Beliau berkata demikian selepas sesi konsultasi dan lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong ke balai polis, lokap serta kuarters polis bagi zon tengah di Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am, Cheras, di sini.

LTTE bertanggungjawab dalam pertumpahan darah selama lebih tiga dekad di Sri Lanka. LTTE yang diketuai V. Prabhakaran mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara negara pulau itu apabila golongan majoriti Sinhala dikatakan menindas masyarakat Tamil, iaitu kumpulan minoriti.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata pihaknya tidak lagi memberi amaran sebaliknya terus menangkap mana-mana individu yang cuba menghasut isu berhubung perkauman, keagamaan serta mencemarkan institusi diraja di negara ini.

“Tiada lagi amaran akan diberi, kami terus tangkap dan siasat jika ada pihak cuba membangkitkan isu sedemikian,” katanya.

— BERNAMA