SHAH ALAM – Susulan lebih 148 Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Parti Amanah Negara (AMANAH) dibatalkan, hari ini parti itu mengadakan Taklimat Khas Organisasi di Hotel De Palma di sini hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati hanya kelibat Setiausaha Agung AMANAH, Mohd. Anuar Mohd Tahir dan Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim kelihatan ketika mereka meninjau meja pendaftaran perwakilan parti itu dari seluruh negara itu.

Selain itu, petugas media tidak dibenarkan membuat sebarang liputan sepanjang taklimat itu berjalan dan pintu dikawal ketat oleh pihak keselamatan parti, Arif Malaysia.

Sepanjang taklimat berjalan, semua perwakilan AMANAH yang hadir tidak dibenarkan membuat sebarang rakaman video dan audio sama ada menggunakan telefon pintar mahupun kamera video.

Difahamkan, pada taklimat khas organisasi itu dijadualkan bermula jam 3 petang dan berakhir pada 5 petang nanti.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan sebanyak 148 AGM termasuk peringkat kawasan, sayap pemuda dan wanita AMANAH dibatalkan di seluruh negara kecuali di Sabah.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 81 yang terbatal melibatkan AGM peringkat kawasan manakala 32 AGM bagi Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), dan 35 AGM bagi sayap pemuda parti itu.

MalaysiaGazette turut dimaklumkan bahawa penubuhan sayap pemuda parti itu juga dibatalkan.

Antaranya dua Pemuda AMANAH telah dibatalkan di Kelantan, empat di Pulau Pinang dan lima di Selangor. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

80 AGM kawasan parti Amanah terbatal?