Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bersama Tun Dr Mahahir Mohamad.

PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah membela Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan menegaskan Perdana Menteri tidak berbohong dalam isu berkenaan ekstradisi Zakir Naik.

Saifuddin berkata, Perdana Menteri India, Narendra Modi sememangnya tidak membangkitkan tentang usaha ekstradisi Zakir dari Malaysia ke India dalam pertemuan yang mengambil tempat di Vladivostok, Rusia.

Perkara itu mencetus perbincangan selepas pihak India memberitahu bahawa isu Zakir telah dibangkitkan dalam pertemuan antara dua Perdana Menteri sedangkan Dr. Mahathir berkata, rakan sejawatnya dari India tidak meminta ekstradisi Zakir dalam perjumpaan yang berlaku.

Kata Saifuddin kepada Sinchew Daily, India meminta Malaysia menghantar balik Zakir sejak zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi permintaan itu ditolak.

Menurutnya, keputusan kerajaan terdahulu itu diteruskan sehingga sekarang.

Katanya, dalam pertemuan dengan Dr. Mahathir, Modi memang ada menyebut tentang Zakir, tetapi beliau tidak berkata tentang ekstradisi.

“Modi hanya berkata ‘kami ada masalah berkaitan Zakir dan pegawai sedang berbincang’ semasa beliau berjumpa dengan Dr. Mahathir,” kata Saifuddin.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Dr. Mahathir tidak memberi balasan terhadap percakapan itu kerana Modi hanya menyebut Zakir secara sepintas lalu.

Saifuddin berkata, Dr. Mahathir justeru tidak berbohong apabila beliau berkata bahawa Modi tidak meminta ekstradisi Zakir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast