Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (tengah) berkenan menyempurnakan Perasmian Pameran ‘Harumanis’ sambil diiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi (dua kiri) di Galeri ASWARA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sokongan korporat antara cadangan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi memastikan karya pelukis tempatan sentiasa dimartabatkan.

Baginda bertitah inisiatif berkenaan bagi memastikan aspek kebajikan dan kelangsungan karier seni mereka agar tidak terhenti dalam menghasilkan karya-karya besar dan hebat khususnya para pelukis muda.

“Oleh itu beberapa cadangan boleh dilaksanakan melalui sokongan korporat, kilang, gudang, pusat membeli-belah, kedai, pejabat, rumah, bangunan atau kuaters kerajaan yang ditinggaljan dan tidak digunakan lagi boleh dijadikan sebagai ruang pelukis.

“Ia boleh dijadikan sebagai tempat tarikan pelancongan baharu yang bukan sahaja akan mendatangkan pekerjaan kepada pelukis malah membantu menjana pendapatan melalui pelancongan seni budaya.

“Pengurusan bangunan kerajaan, hotel, dan pusat peranginan di negara ini juga disarankan untuk mempamerkan karya-karya seni anak tempatan,” titah baginda selepas mencemar duli menyempurnakan Pameran Harumanis yang mempamerkan 32 lukisan karya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) hari ini.

Malah Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah seharusnya pengusaha pelancongan mempamerkan lebih banyak lagi hasil kerja karyawan tempatan ini untuk menghidupkan semula seni dan budaya.

Titah baginda lagi, ramai pelukis tempatan berbakat dan memiliki gaya tersendiri tetapi jika tiada sokongan dan galakan pihak kerajaan dan swasta, pelukis tidak mungkin dapat bertahan lama.

“Semua pihak harus memberi sokongan kepada industri seni lukis di Malaysia dan mempromosikan warisan dan budaya selain mewujudkan kesedaran awam serta latihan dan pendekatan yang berterusan harus diberikan bagi memantappkan lagi teknik dan hasil seni para pelukis tempatan.

“Dan Insya Allah karya mereka boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” titah baginda lagi sambil mendoakan agar ASWARA terus maju sebagai institusi pengajian dalam bidang seni, budaya dan warisan yang terulung di peringkat nasional dan antarabangsa.- MalaysiaGazette