Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi

KUALA LUMPUR – Keakraban bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Low Taek Jho atau Jo Low diibaratkan seperti  ‘hubungan simbiotik’.

Itu kata saksi kesembilan yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika perbicaraan kes tersebut masuk hari ke-13 hari ini.

Shahrol berkata demikian ketika dicelah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram semasa beliau sedang membaca penyataan saksinya.

Kata Shahrol, terma itu muncul dalam benak fikirannya kerana melihat sendiri hubungan akrab antara kedua-dua individu itu yang juga dikaitkan dengan penyelewengan dana sebanyak RM2.3 bilion milik 1MDB.

Malah kata Shahrol, Najib dan Jho Low seolah-olah saling bergantung antara satu sama lain khasnya sekitar tahun 2009 sehingga tahun 2010 melalui pengamatannya.

Gopal: Apa yang terlintas dalam fikiran kamu melihat hubungan antara Jho Low dan Najib sebenarnya?

Shahrol: Saya boleh katakan ianya seperti hubungan ‘simbiotik’.

Gopal: Maksud kamu hubungan simbiotik sebenarnya?

Shahrol: Ianya seperti apabila Jho Low akan melaksanakan apa sahaja yang Najib mahu. Antaranya dengan meluluskan keputusan dalam urusan 1MDB, bukan itu sahaja sebaliknya juga berkait dengan jentera kerajaan.

Semalam peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah beberapa perengan dalam penyataan berkait dengan dakwaan keakraban antara Jho Low dan anak guamnya yang hanya sekadar ‘khabar angin’ sahaja.

Hujah Muhammad Shafee dakwaan yang mengaitkan anak guamnya dengan  Jho Low kononnya mempunyai hubungan akrab tidak boleh digunapakai.

Ini kerana, katanya, Jho Low sendiri tidak ada dalam mahkamah bagi membuktikan kenyataan didedahkan oleh Shahrol. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kenyataan Najib akrab dengan Jho Low hanya khabar angin, mana boleh pakai?

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast