Wakil-wakil Delegasi dan Wakil NGO hadir pada Persidangan Meja Bulat “Had Umur Belia Transisi dan Pelaksanaan” anjuran Institut Pembangunan Belia Malaysia (IYES) agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras, Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 26 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 resolusi yang bertujuan menurunkan had umur dalam takrif belia diangkat bagi  memastikan pembangunan belia selaras dengan Dasar Belia Malaysia.

Perkara itu dicapai menerusi Persidangan Meja Bulat Belia (RTD) yang didakan di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa (IYC) hari ini.

Perkongsian ilmu yang melibatkan pakar pembangunan belia dan golongan belia membincangkan perkara-perkara berkaitan pindaan had umur yang kemudian akan dibawa ke jemaah menteri sebelum dibentang di Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) memberitahu, resolusi berkenaan bertujuan bagi memastikan pembangunan belia selaras dengan Dasar Belia Malaysia serta seiring dengan dasar sedia ada kerajaan dalam memperkukuhkan peranan dan tanggungjawab belia di negara ini.

“RTD ini melibatkan penyertaan daripada agensi-agensi kerajaan, badan-badan korporat, GLC, GIC, Majlis Belia Malaysia (MBM), pertubuhan-pertubuhan belia, majlis perwakilan pelajar, penggerak persatuan pelajar (IPT), Ahli Parlimen Belia, Felo Perdana dan media,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurutnya lagi, antara tajuk-tajuk yang terkandung dalam resolusi tersebut ialah Peranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kerajaan, Peranan Pertubuhan Belia dan Badan Gabungan serta Peranan Belia Akta 668.

Ujarnya, resolusi tersebut diserah kepada Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Dasar dan Strategik Kementerian Belia da Sukan sebelum diserah kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – MalaysiaGazette