Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tan Sri Tommy Thomas mencipta sejarah perundangan di dalam negara ini apabila menjadi Peguam Negara pertama yang akan dihadapkan ke muka pengadilan di atas kesalahan menghina mahkamah.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Koroner Shah Alam, Rofiah Mohamad yang memutuskan terdapat prima facie Peguam Negara itu telah melakukan penghinaan terhadap mahkamah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini merupakan sejarah hitam kepada sistem perundangan Malaysia dan peristiwa malang kepada komuniti perundangan seluruh negara.

Kata beliau, keputusan terhadap Tommy itu sangat memalukan kerana Peguam Negara bukan sahaja individu, malah institusi yang sepatutnya mengangkat martabat perundangan di Malaysia.

“Tindakan Peguam Negara mencampuri urusan mahkamah sewaktu perbicaraan inkues telah menyebabkan bapa Allahyarham Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid membuat permohonan untuk kebenaran memulakan prosiding terhadapnya dan mahkamah telah membuat keputusan membenarkannya.

“Sebenarnya Peguam Negara yang mengarahkan inkues diadakan berdasarkan Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi mengenal pasti punca kecederaan Muhammad Adib dan juga punca kematian anggota bomba itu.

“Walaupun polis sebelumnya telah menjalankan siasatan, membuat tangkapan di bawah kanun keseksaan untuk cubaan membunuh, tetapi Peguam Negara mengarahkan agar diadakan inkues,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Malah menurut Ismail Sabri, Timbalan Ketua Polis Selangor setelah menerima maklum Muhammad Adib telah meninggal dunia, membuat kenyataan kes itu akan dipinda dan disiasat di bawah kes membunuh.

Namun katanya, Peguam Negara telah mengarahkan inkues walaupun polis telah menjalankan siasatan.

“Walaupun tidak salah dari segi undang-undang, tetapi rakyat hairan tindakan itu seolah wujud sesuatu yang luar biasa. Rakyat mula sangsi dengan sikap berkecuali Peguam Negara dalam kes Muhammad Adib ini.

“Sikap Tommy lebih terserlah apabila perbincangan inkues berjalan di Mahkamah Koroner Shah Alam dan mengeluarkan pula arahan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menamatkan khidmat peguam Shazlin Mansor.

“Alasannya terdapat konflik kepentingan. Alasan ini sangat diragui kerana sejak hari pertama Shazlin mewakili keluarga Muhammad Adib di mahkamah tidak ada sebarang bantahan daripada Peguam Negara,” katanya.

Beliau menjelaskan, hanya setelah lebih empat bulan dan saksi ke-29 memberi keterangan barulah isu conflict of interest ini ditimbulkan.

Menurut beliau lagi, isu itu timbul apabila Shazlin dilihat mempunyai pendirian yang berbeza dengan Peguam Negara dalam pengendalian kes terutama mengenai punca kematian Muhammad Adib.

Pendirian Tommy menjadi lebih jelas apabila pihak Peguam Negara telah berikrark dalam affidavit bertarikh 3 April 2019 melalui Tuan Hamdan Hamzah iaitu mantan Ketua Pegawai Pengendali Inkues berkenaan bahawa “kecederaan yang dialami oleh si mati yang membawa kepada kematian si mati apabila dilihat secara keseluruhan, bukanlah kecederaan akibat dipukul”.

Maka adalah jelas Peguam Negara telah membuat pendirian sendiri mengenai punca kematian Muhammad Adib sejak dari mula lagi seperti menolak hasil siasatan polis, menyingkirkan Shazlin yang dilihat berpotensi menghalang tindakan beliau.

Malah tegasnya, Peguam Negara cuba mempengaruhi mahkamah untuk membuat keputusan dengan mengikrar dalam affidavit mengenai punca kematian tersebut.

“Sebelum Mahkamah Koroner membuat keputusan, punca kematian masih dianggap ‘unknown’. Hanya setelah mendengar semua saksi, barulah mahkamah akan membuat keputusan.

“Maka tindakan Peguam Negara membuat pendirian dan keputusan pra matang dengan mendahului mahkamah adalah satu tindakan yang boleh dianggap sebagai subjudis, malah menghina mahkamah.

“Tindakan Peguam Negara boleh dianggap sebagai cuba mengganggu perjalanan mahkamah. Tindakannya juga boleh dianggap sebagai mempengaruhi mahkamah,” ujarnya.

Kata Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO, tindakan Tommy juga boleh dianggap sebagai menghalang keadilan yang cuba ditegakkan oleh mahkamah.

Peguam Negara bukan sahaja individu, malah sebagai institusi yang berperanan menegakkan kedaulatan undang-undang di Malaysia, tetapi beliau bertindak sebaliknya.

Tindakan itu menjadikan Tommy tidak layak menjawat jawatan sebagai Peguam Negara.

“Jika dia seorang yang mempunyai maruah dan berintegriti, dia perlu secara sukarelanya meletakkan jawatan atau Perdana Menteri harus menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memecatnya.

“Esok kes inkues ini akan diputuskan oleh mahkamah. Rakyat menunggu keputusan ini sama ada Muhammad Adib meninggal dunia akibat dipukul atau sebaliknya.

“Kita amat berharap agar mahkamah membuat keputusan dengan adil tanpa dipengaruhi oleh tindakan Peguam Negara atau mana-mana pihak sekalipun,” katanya.

Beliau menjelaskan, keadilan kes Muhammad Adib benar-benar menguji kebebasan mahkamah dan rakyat mahu keadilan ditegakkan.

“Rakyat mahu kematian Muhammad Adib mendapat pembelaan sewajarnya oleh sistem perundangan kita. Sama-sama kita doakan agar mahkamah membuat keputusan yang terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette