Dr Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menghormati prinsip demokrasi apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa pentadbirannya telah mengenalpasti penjawat awam yang menyokong pembangkang.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, Menteri Besar Kedah itu tidak wajar memberi amaran kepada penjawat awam yang terlibat dan bergerak aktif dalam aktiviti parti pembangkang termasuk menghadiri Perhimpunan Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September lalu.

“Di manakah prinsip demokrasi yang selama ini didukung oleh PH? Rakyat termasuk penjawat awam bebas untuk menyokong mana-mana parti politik kerana itu adalah hak berpolitik setiap individu di negara ini.

“Realiti politik hari ini mengambarkan kerajaan PH tidak ubah seperti pemerintahan diktator dengan sering mengugut, menekan dan menzalimi rakyat termasuk penjawat awam,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, Mukhriz dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri itu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penjawat awam peringkat negeri dan persekutuan sekiranya didapati cuba mensabotaj program pembangunan yang dirancang.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti segelintir penjawat yang bukan sahaja aktif menyokong pembangkang, malah ada yang sanggup menggagalkan usaha pembangunan kerajaan.

Justeru, beliau memberi amaran kepada semua penjawat awam supaya tidak melibatkan diri dan bergerak aktif dalam aktiviti parti pembangkang termasuk menghadiri Perhimpunan Muafakat Nasional di PWTC baru-baru ini.

Menurut Dr. Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Terengganu, ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN) terdapat ramai penjawat awam yang menyokong PH kerana terpedaya dengan tipu helah dan retorik politik.

Namun, ujarnya, kerajaan BN tidak mengenakan apa-apa tindakan kerana ianya adalah pilihan peribadi.

Bahkan, kata beliau, menyalahkan penjawat awam kerana cubaan mensabotaj usaha pembangunan kerajaan adalah alasan kerajaan PH kerana gagal dalam mentadbir negara khususnya sistem penyampaian awam.

“Kegagalan kerajaan PH bukan berpunca daripada penjawat awam, tetapi disebabkan pemimpinnya tidak cekap dalam pembuatan dasar.

“Pemimpin PH lebih memfokuskan urusan serta masalah dalaman parti sehingga menjejaskan kecekapan tadbir urus negara.

“PH perlu menerima hakikat berlakunya defisit sokongan rakyat khasnya melibatkan kebajikan penjawat awam kerana mereka gagal memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan PH sering melakukan tindakan menzalimi penjawat awam, misalnya dengan cadangan untuk memansuhkan skim pencen, menamatkan perkhidmatan kontrak dan pelbagai lagi.

“Sudahlah nasib penjawat awam tidak dibela dan diperjuangkan. Kini, kerajaan PH pula memberi amaran kepada mereka yang menyokong pembangkang,” katanya. – MalaysiaGazette

Penjawat awam sokong pembangkang sudah dikenal pasti – Mukhriz