KUALA LUMPUR – Jika semalam Pergerakan Wanita UMNO Malaysia mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan pendirian terhadap Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas atas salah laku dalam mengurus kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Wanita UMNO hari ini mendesak Jawatankuasa Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus pula berbuat demikian.
Menurut ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad, pendirian itu ditagih pihaknya selepas mendapati kerajaan PH tidak membuat sebarang kenyataan berhubung keputusan Mahkamah Koroner semalam yang memutuskan punca kematian Muhammad Adib akibat dipukul dan diserang oleh pihak ketiga.
Keputusan itu diumumkan oleh Koroner Rofiah Mohamad selepas 41 hari prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib berlangsung.
“Datuk Seri Anwar juga perlu memanggil Tommy bagi menjawab segala isu berkaitan kes arwah Adib.
“Hasil soal selidik itu nanti, ia perlu dibentangkan ke dalam Sidang Dewan agar penjelasan tersebut akan tercatat dalam hansard Parlimen, selain itu seluruh rakyat Malaysia juga bakal dapat penjelasan yang sewajarnya.
“Ini secara tidak langsung, memberi ruang kepada Tommy bagi membersihkan namanya memandangkan kini banyak pihak yang merasakan beliau tidak layak menjawat jawatan sebagai Peguam Negara,” demikian menurut Noraini dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk makluman, sidang Dewan Rakyat akan mula bersidang semula pada 7 Oktober depan. -MalaysiaGazette