KADUNA, Nigeria – Lebih 300 kanak-kanak dan remaja lelaki seawal usia lima tahun diselamatkan daripada kurungan dalam sebuah bangunan yang dijadikan sebuah sekolah Islam di utara Nigeria.
Semasa operasi itu dijalankan, ada dalam kalangan mereka kakinya dirantai dengan besi, dipercayai bagi mengelak mereka melarikan diri.
Badan-badan mereka pula terdapat kesan luka akibat dipukul.
Seorang budak lelaki terpaksa dipegang oleh polis kerana tidak dapat berjalan secara stabil dengan kesan luka yang konsisten pada padannya kerana dipercayai dirotan.
Beberapa kanak-kanak itu dikatakan dibawa dari negara-negara jiran termasuk dari Burkina Faso, Mali dan Ghana serta ada juga anak-anak yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka di sekolah Islam yang juga berfungsi sebagai pusat pemulihan.
“Tempat ini bukan rehabilitasi atau sekolah Islam kerana anda dapat melihatnya sendiri,” kata Pesuruhjaya Polis Kaduna, Ali Janga, kepada pemberita.
Tambahnya: “Kanak-kanak yang berkumpul di sini dari seluruh negara … ada di antara mereka dirantai. Mereka dipergunakan, dilayan tanpa perikemanusiaan, anda boleh melihat sendiri. ”
Jurucakap polis Kaduna, Yakubu Sabo berkata, tujuh orang yang mendakwa menjadi guru di sekolah itu telah ditangkap dalam serbuan tersebut.
Setakat ini tidak dapat dipastikan selama mana kanak-kanak dan remaja itu telah berada dalam kurungan di bangunan “Pusat Pengajian Islam Imam Ahmad Bun Hambal”.
Mereka kini dibawah jagaan kerajaan sehingga polis dapat mengenal pasti keluarga mereka.
Seorang remaja, Hasssan Yusuf berkata, dia telah dihantar ke sekolah itu kerana keluarganya bimbang dengan cara hidupnya selepas belajar di luar negara selama beberapa tahun.
“Kehidupan saya berubah, saya menjadi Kristian dan meninggalkan cara hidup Islam,” katanya
.
Manakala Hassan Mohammed, pakcik kepada tiga kanak-kanak yang dihantar ke sekolah itu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia berasa hairan kerana tidak dibenarkan menjenguk anak-anak saudaranya.
“Saya merayu tetapi mereka tidak membenarkan saya melawat sehingga tiga bulan, jadi saya berpendapat perkara itu perlu dilaporkan kepada polis dan ia seperti apa yang kami lakukan,” kata Mohammed. – MalaysiaGazette