KUALA LUMPUR – Melayu akan menempuhi episod menang sorak kampung tergadai jika terus beretorik dan sekadar melaung “Hidup Melayu”, berteriak membela Melayu dan Islam, sedangkan pada masa sama masih bersandiwara dengan agenda politik.
Presiden penaja Parti Putra Malaysia, Datuk Dr. Ibrahim Ali menegaskan, beliau melihat senario itu akan berterusan kerana sehingga kini Melayu berpegang kepada sikap bertolak ansur tidak bertempat, tidak berani dan tiada kesungguh politik.
Jelas beliau, orang Melayu, umat Islam dan kaum pribumi sepatutnya sedar dari lamunan itu dan kelahiran Putra akan mencetuskan gelombang serta semangat sebagai wadah politik baharu mereka.
“Dahulu perpaduan orang Melayu, umat Islam dan kaum pribumi kuat kerana teguh berpegang kepada nasionalisme Melayu Islam tulen. Kini, bangsa teras umat Melayu makin hancur dan terus layu.
“Mengapa hal ini terjadi? Semuanya kerana wadah nasionalisme Melayu Islam tulen sudah bertukar wajah kepada penghayatan secular kapitalisme, terlalu mengejar kebendaan dan pangkat.
“Ideologi nasionalisme ini musnah kerana sifat secular kapitalisme sehingga membawa kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa yang menjadi punca kepada perpecahan orang Melayu, umat Islam dan kaum pribumi,” katanya pada majlis pelancaran dan Pemasyhuran Sumpah Keramat 10 Perlara Tuntutan Melayu Bumiputera di Kampung Pindah, Kampung Baru di sini, hari ini.
Jelas Dr. Ibrahim, perpecahan dalam kalangan pemimpin Melayu yang membawa kepada perpecahan bangsa itu.
Tetapi, katanya, mereka tidak pernah mengaku bersalah, sebaliknya menuduh orang Melayu dengan bermacam label.
“Sesama Melayu kita bersengketa dan akhirnya pihak yang menang sekadar menjadi arang, manakala yang kalah menjadi abu.
“Fundamentalis yang membawa ideologi agama pula terus beretorik dengan sikap yang sentiasa berubah-ubah, ada kala bangun dan ada kalanya rebah, manakala wadah yang mendokong liberal demokrat, membawa konsep kesamarataan serta hak asasi manusia lagi berkecamuk sehingga menggugat akidah umat Islam.
“Lebih malang, ada pula wadah yang sekadar menjadi tali barut kepada musuh Islam,” ujarnya.
Beliau menegaskan, umat Islam kini berdepan dengan golongan sosialis democrat, komunis bandar yang cauvinis dan bersifat evangelists, dan makin besar kepala kerana kelemahan dan kerakusan pemimpin Melayu sendiri.
“Inilah yang menjahanamkan orang Melayu, umat Islam dan kaum pribumi secara keseluruhannya, jika tidak ditangani segera oleh majoriti Melayu dan pribumi yang insaf serta bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, dengan lahirnya parti Putra pada 8 Mei lalu, akan menjadi benteng bagi meningkah gelombang derita dan keluh resah orang Melayu, umat Islam dan pribumi.
Katanya, Putra akan mengisi kesinambungan perjuangan nasionalisme Melayu Islam tulen dengan penuh patriotik sebagaimana semangat nenek moyang sebelum ketika bangkit menuntut kemerdekaan dahulu.
Putra, kata Dr. Ibrahim, tidak akan beretorik atau sekadar menipu rakyat demi untuk mendapatkan undi pilihan raya, tetapi parti itu ada keberanian dan keazaman politik untuk merealisasikan impian kaum pribumi.
“Dalam mengharungi perjuangan penuh ranjau ini, Putra tampil menghulurkan tangan persahabatan dengan mana-mana pihak asalkan merka berkongsi aspirasi, hala tuju serta roh perjuangan yang sama dengan parti itu.
“Perjuangan kita ialah mempertahan dan memperjuangkan kepentingan orang Melayu, umat Islam dan kaum pribumi. Kita tidak mahu lagi bumi Melayu ini berterusan dipijak orang, dihina dan dicerca,” katanya. – MalaysiaGazette