Menurut Laporan Kemapanan Lynas 2019, Lynas telah melaksanakan proses secara menyeluruh bagi memastikan operasinya selamat untuk pekerja, alam sekitar dan masyarakat serta pelanggan.
“Pemantauan radiasi alam sekitar dan radioaktif terhadap air, tanah dan sampel mendapan pada satu kilometer (km), lima km, 10 km dan 20 km daripada loji Lynas, dijalankan mengikut pensampelan dan kaedah pemantauan yang diterima di peringkat antarabangsa.
“Laporan keselamatan Lynas selari dengan garis panduan OSHA (Keselamatan Pekerjaan dan Pentadbiran Kesihatan) dalam merekodkan dan melaporkan kecederaan dan penyakit di tempat kerja.
“Tiada kematian akibat operasi loji itu sejak ia mula beroperasi pada akhir 2012,” menurut laporan itu.
Dari segi masyarakat dan hak asasi manusia, menurut laporan itu, penglibatan Lynas dengan masyarakat di kawasan tersebut adalah “aktif, inklusif dan adil”.
Pekerja tempatan mewakili 97 peratus daripada 650 tenaga kerja Lynas Malaysia.
Laporan itu juga menyebut Lynas turut melibatkan diri dengan masyarakat tempatan dan bagi tahun kewangan 2019, ia memperluaskan perkhidmatan masyarakat ke kawasan lebih luas di Kuantan.
Sumbangan Lynas kepada masyarakat setempat termasuk program kembali ke sekolah yang menyediakan pakaian seragam dan bahan pendidikan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik, sumbangan untuk rumah kebajikan, program kitar semula, pemeriksaan kesihatan percuma, acara sukan serta lawatan ke loji, menurut laporan itu. – MalaysiaGazette