Menteri Wilayah Persekutuan, Yb Khalid Samad (tengah) diiringi Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan menyaksikan demo PDRM pada Perasmian Inisiatif Wilayah Peduli Komuniti Sejahtera di Dewan Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 29 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan telah menempatkan anggota polis di  di 27 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Awam (PA) sebagai penghuni dalam usaha mengurang masalah sosial di ibu negara.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, dikenali Unit Komuniti Polis, inisiatif itu telah bermula serta-merta yang akan melibatkan 38 PPR dan PA secara keseluruhannya.

Menurutnya, inisiatif itu merupakan kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Usaha ini bertujuan membantu memudahkan pengawasan dan mempercepatkan tindak balas pasukan PDRM dalam usaha membanteras jenayah khususnya di kawasan PPR yang memerlukan lebih perhatian.

“Melalui kerjasama ini, DBKL menyediakan tempat tinggal untuk PDRM menempatkan anggota mereka.

“Ia diharap dapat membantu mengurangkan kes-kes jenayah dan masalah sosial yang banyak berlaku di kawasan PPR di ibu kota,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Inisiatif Wilayah Peduli Komuniti Sejahtera di sini hari ini.

Program yang berlangsung di Perumahan Awam Desa Rejang itu turut melibatkan perasmian Unit Komuniti Polis dan Peti Cadangan Maklumat, pameran kerjaya dan pendidikan.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast