Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz
Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) meminta semua ahli dan kepimpinan parti itu di seluruh negara agar bertenang menghadapi fitnah kononnya berlaku kejadian cabul terhadap seorang bekas ahli oleh pemimpin peringkat Kedah.

Naib Presidennya, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, pihaknya akan membuktikan pemimpin Putra yang dikaitkan dengan jenayah itu tidak terlibat sebagaimana laporan polis yang dibuat semalam.

Beliau yang menyifatkan aduan itu sebagai palsu berkata, ada pihak cuba mensabotaj gerakan kebangkitan Melayu yang baharu bermula.

“Kita ingin merujuk kepada laporan Berita Harian pada 29 September 2019 yang bertajuk “Pemimpin Putra Kedah didakwa cabul bekas ahli”.

“Putra dengan ini menyatakan laporan polis dibuat pihak tertentu itu adalah usaha untuk mensabotaj majlis pelancaran Parti Putra yang diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 28 September lalu.

“Bekas penaja Putra Kulim Bandar Baru, Datuk Noridan Spee Yee sebenarnya telah memburuk-burukkan kepimpinan Pengerusi Perhubungan Putra Kedah kepada Presiden parti, Datuk Dr. Ibrahim Ali,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Di Sungai Petani, Kedah semalam, seorang bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Exco) yang juga salah seorang pemimpin Putra negeri didakwa mencabul bekas ahli wanita parti berkenaan.

Dalam kejadian 9 Ogos lalu, kira-kira jam 8.30 malam, bekas Exco itu didakwa menghubungi wanita terbabit melalui telefon, yang ketika itu masih bergelar ahli Putra memaklumkan hendak menjemputnya keluar bagi urusan parti.

Bagaimanapun, beliau dikatakan menbawa wanita berkenaan ke lokasi lain, sebelum cuba melakukan perbuatan tidak senonoh.

Mengulas lanjut urutan kejadian itu, Mohd. Khairul Azam yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang Putra berkata pucuk pimpinan parti enggan melayan cubaan memburuk-burukkan pemimpin berkenaan.

Katanya, apabila tidak berpuas hati dengan perkara itu, beliau telah berpakat dengan seorang ahli wanita Putra Kedah untuk membuat satu laporan polis palsu berkaitan kejadian itu.

“Kejadian palsu itu dikatakan berlaku tiga bulan lepas di sebuah restoran di Tanjung Dawai yang ketika kejadian terdapat ramai orang lain dalam restoran berkenaan yang sedang berlindung dari kejadian ribut ketika itu.

“Adalah mustahil kejadian cabul boleh berlaku ketika orang ramai memenuhi restoran berkenaan,” katanya.

Justeru, kata beliau, presiden parti telah mengarahkan peguam parti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Noridan yang juga telah melakukan jenayah pecah amanah.

“Beliau dikatakan telah menipu dengan melarikan duit parti negeri itu yang sepatutnya digunakan untuk menyewa bas ahli Putra Kedah ke majlis pelancaran Putra di Kuala Lumpur namun gagal menyewa bas yang dijanjikan.

“Selepas Putra Pusat meminta beliau memulangkan kembali wang berkenaan, beliau enggan dan terus membuat laporan polis palsu berkaitan kejadian cabul ini,” katanya. – MalaysiaGazette