Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (tengah) beramah mesra dengan Penerbit Filem Raatchasi, Prabhu Sundakkampalayam (kanan), Pengarah Filem Raatchasi, Gowthamraj Syed Meera (dua kiri) dan Penulis Skrip Filem Raatchasi, Saravanan Ramasamy (kiri) ketika hadir pada Majlis Tayangan Perdana Filem Raatchasi di TGV CINEMA Setia Walk,Puchong, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 30 SEPTEMBER 2019.

PUCHONG – Dr. Maszlee Malik meminta ibu bapa dan murid murid tampil berkongsi maklumat sekiranya mengetahui warga pendidik yang membawa ciri-ciri pengajaran dan kepimpinan kreatif seperti mana watak cikgu besar wanita, Geetharani dalam filem Tamil, Raatchasi.

Menteri Pendidikan berkata, terdapat guru yang lebih berbakat dan berideologi tinggi di kawasan pedalaman yang tidak disedari masyarakat.

“(Watak) Cikgu Geeta Rani dalam filem berkenaan adalah rekaan, tetapi di Malaysia kita mempunyai ramai guru-guru hebat seperti cikgu Geeta Rani yang mana kita ada guru-guru adiwira yang diberi penghormatan kepada mereka, penghargaan dan publisiti.

“Saya yakin ramai lagi hero-hero guru yang tidak didendang misalnya pengetua, guru besar dan guru maka saya minta ibu bapa, anak murid yang mengetahui atau bermaklumat jikalau ada guru-guru hebat di sekolah kawasan masing-masing sila kongsikan segera dengan Kementerian Pendidikan.

“Kita mahu rakyat negara ini mengetahui kehebatan pengajaran dan kepimpinan mereka, sebab kita mempunyai ramai guru-guru seperti watak Geetha yang perlu dihargai jasanya,” katanya kepada pemberita di Setia Walk Mall petang tadi.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Tayangan Perdana Filem Raatchasi di TGV CINEMA Setia Walk,Puchong, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 30 SEPTEMBER 2019.

Turut dijemput menonton filem itu ialah guru, pengetua, pegawai pendidikan daerah di Lembah Klang dalam usaha memberi aspirasi kepada warga pendidik untuk membawa perubahan dalam bidang pendidikan.

Pengarah filem itu, S.Gowthamraj dan penerbit, Prabu Sundakkampalayam serta Saravanan Ramasamy (penulis skrip filem) turut hadir atas jemputan Maszlee.

Filem ini mengisahkan Jyotika selaku bekas komander tentera diberi tanggungjawab sebagai guru besar di sebuah sekolah kerajaan yang terletak di kawasan terpencil.

Jyotika yang berdepan pelbagai cabaran mengambil pendekatan kreatif dan drastik walaupun tidak disenangi para pendidik yang berpakat untuk menghalau beliau.

Menurut Maszlee, beliau telah menonton filem itu sebanyak tiga kali dan walaupun mengetahui ia mempunyai unsur rekaan namun tidak mustahil elemen tersebut dapat diterjemahkan oleh guru dan pemimpin dalam kehidupan mereka.

“Cuma saya rasa kelebihan di Malaysia, kita tidak ada sekolah seteruk dalam filem itu, jadi kita maksudnya lebih muda membawa perubahan yang diinginkan dan apa yang penting adalah komiten dan juga kerjasama semua pihak mendukung aspirasi bersama.

“Saya juga dapat lihat bahawa perubahan yang kita bawa dalam pendidikan telah ditontonkan oleh ‘Geeta Rani’ contohnya kerjasama antara komuniti dalam hal sekolah, sifar keciciran, pendidikan sivik, program guru bersarapan bersama murid dengan sikap inovatif dan kreatif yang perlu dihayati ramai guru kita.

“Begitu juga kita tak kurang filem seumpama ini misalnya filem Adiwiraku yang begitu menarik juga dan saya galakkan semua guru dan ibu bapa menonton filem itu lagi dan kita akan pergi kepada filem adiwiraku sequal kedua pasal pemain kriket yang memberi mesej bahawa sukan juga mempunyai peluang cerah dalam pendidikan,” katanya.- MalaysiaGazette