KUALA LUMPUR – Demi watak penagih dadah dalam sebuah filem, Mimi Lana sanggup menurunkan berat badannya sehingga kelihatan cengkung.
Pelakon berusia 24 tahun itu juga tidak mempedulikan kata-kata warganet tentang penampilannya untuk filem Pusaka sebaliknya lebih realistik demi watak yang dibawanya.
“Saya nak bagi nampak realistik dan tak nak harapkan kesan solekan semata-mata, jadi saya ambil inisiatif turunkan berat badan,” katanya sebagai bintang Pusaka filem seram thriller arahan Razaisyam yang akan ditayangkan 31 Oktober nanti.
Mimi atau Mimi Roziana Zainal Abidin namun begitu hairan dengan sikap segelintir yang kelihatan terlalu bersungguh-sungguh menegur berat badannya yang terkini.
“Saya tidak kisah ramai orang tegur saya kurus kerana memang saya kurus tetapi apa yang buat saya hairan, bila ada sesetengah netizen yang kelihatan bersungguh-sungguh seperti merayu apabila menegur berat badan saya.
“Mungkin mereka risau dengan berat badan saya yang kurus tapi keadaan kesihatan saya baik-baik sahaja, Alhamdulillah,”tambahnya.
Katanya lagi demi Pusaka Mimi menurunkan beratnya sehingga 43 kilogram (kg) berbanding sebelum pengambaran iaitu 49 kg.
“Sebelum penggambaran berat saya 49 kilogram dan ia turun kepada 43 kilogram. Sekarang saya dah dapat balik berat 49 kilogram yang dulu.
“Berat badan saya memang jenis senang turun dan naik. Sekarang ini saya berazam nak capai berat ideal iaitu 55 kilogram pula,”katanya lagi.-MalaysiaGazette