Lembaga Tabung Haji TH deposits
Lembaga Tabung Haji (TH) terus mencatatkan rekod tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat Mei 2022.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak pernah melepaskan pegangan ekuiti berjumlah RM2.6 bilion atau secara drastik sejak tiga bulan lalu sebaliknya terus mengambil peluang untuk melabur dalam pasaran ekuiti domestik bagi mengukuhkan portfolio pelaburannya.

Sepanjang tahun 2019, nilai ekuiti domestik TH telah meningkat sebanyak RM1.12 bilion daripada RM6.36 bilion pada penghujung 2018, kepada RM7.48 bilion, setakat 27 September lalu.

Pelaburan TH tertumpu kepada syarikat-syarikat utama Bursa Malaysia yang mempunyai prestasi kewangan serta rekod dividen yang baik, menjana pendapatan stabil dan patuh syariah, termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang merupakan di antara pegangan terbesar di dalam portfolio TH, katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhannya pegangan TH dalam TNB telah bertambah sebanyak RM304 juta sejak 18 bulan yang lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof membuat penjelasan berhubung penjualan aset strategik Tabung Haji (TH) bernilai RM2.6 bilion.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jumlah itu termasuk keseluruhan pegangan saham TH dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bernilai RM1.8 bilion.

Kata beliau, penjualan keseluruhan saham TH dalam TNB amat mengejutkan kerana TNB bukan syarikat bermasalah, bahkan salah sebuah syarikat paling stabil dari segi keuntungan setiap tahun.

Malah katanya, saham TNB sentiasa membayar dividen yang tinggi kepada TH setiap tahun.

TH berkata, bagi tahun 2019, ia juga tidak memiliki mahupun melupuskan pegangan saham dalam syarikat-syarikat seperti FGV Holdings Berhad, Lion Industries Corporation Berhad, T7 Global Berhad, Shin Yang Shipping Corporation, Brahim’s Holdings
Berhad dan Cheetah Holdings Berhad seperti yang dilaporkan di media massa baru-baru ini.

Selain daripada ekuiti, TH kini giat dalam mencari peluang pelaburan dalam semua kelas aset seperti hartanah dan instrumen kewangan berpendapatan tetap seperti sukuk.

Menurutnya lagi, TH sentiasa mengutamakan kepentingan para pendeposit dan melabur secara berhemah selaras dengan strategi alokasi aset yang mengutamakan pendapatan yang mampan buat jangka masa yang panjang dengan
mengambilkira risiko yang bersesuaian.

Malah, TH akan terus mengekalkan tahap tadbir urus yang tinggi dalam mentadbir dana yang dipertanggungjawabkan
kepadanya. – MalaysiaGazette

TH jual ekuiti RM2.6 bilion, Pemuda UMNO minta Mujahid beri penjelasan