KUALA LUMPUR – Pemimpin yang dikaitkan dengan kejadian cabul bekas ahli wanita Parti Putra Malaysia peringkat Kedah memohon cuti secara sukarela berkuatkuasa semalam.

Serentak itu, Putra Pusat melakukan sedikit rombakan kepimpinan di peringkat Kedah bagi memberi peluang kepada pemimpin berkenaan yang merupakan bekas anggota exco kerajaan negeri membersihkan namanya dari fitnah itu.

Menurut Setiausaha Agung Putra, Borhan Ahmad Zakaria, dengan itu urusan tugas Ketua penaja Putra Kedah mulai hari ini yang dipegang oleh pemimpin terbabit diambil alih oleh Ketua Penaja Bahagian Merbuk, Datuk Mustaffa Idrus.

“Semalam, pemimpin itu (mangsa) secara sukarela memohon cuti dan juga turut membuat laporan polis berhubung tuduhan jenayah ke atasnya.

“Beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang demi membersihkan namanya dari fitnah pihak yang cuba hendak menjatuhnya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, media melaporkan, bekas anggota exco kerajaan Kedah yang juga pemimpin Putra negeri didakwa mencabul bekas ahli wanita parti berkenaan.

Dalam kejadian 9 Ogos lalu, kira-kira jam 8.30 malam, bekas Exco itu didakwa menghubungi wanita terbabit melalui telefon, yang ketika itu masih bergelar ahli Putra, memaklumkan hendak menjemputnya keluar bagi urusan parti.

Bagaimanapun, beliau dikatakan menbawa wanita berkenaan ke lokasi lain, sebelum cuba melakukan perbuatan tidak senonoh. Laporan polis dibuat oleh bekas penaja Putra Kulim Bandar Baru, Datuk Noridan Spee Yee.

Kata Borhan, sebenarnya bahagian Putra di seluruh negara baharu sahaja menerima kelulusan penubuhan oleh Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (ROS) termasuk bahagian Kulim Bandar Baru.

“Langkah seterusnya setiap bahagian perlu mengadakan mesyuarat penubuhan dan minit mesyuarat perlu dihantar kepada ROS.

“Dengan itu, jawatan yang disandang ketika ini semuanya belum rasmi dan sekadar penaja, yang mana (jawatan) boleh bertukar ganti sehingga mendapat kelulusan ROS.

“Oleh kerana Mustaffa telah mengambil alih tugas Ketua Penyelaras penaja Kedah, dalam konteks Putra ia bukan lagi isu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette