KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memandang serius insiden kerosakan eskalator di platform Stesen LRT KL Sentral yang mengakibatkan seorang wanita mengalami kecederaan semalam.
APAD berkata, pihaknya telah mengambil tindakan dan meminta Rapid Rail Sdn. Bhd. mengemukakan laporan lengkap insiden dengan menyatakan punca serta faktor penyumbang insiden tersebut, rekod rakaman kamera litar tertutup, pelan tindakan, cadangan penambahbaikan dan tempoh waktu penyelesaian.
“Selain itu Rapid Rail juga diarahkan untuk menyerahkan laporan rekod terakhir penyelenggaraan dan sijil PMA terkini eskalator yang terlibat dan pelan dan rekod terakhir penyelenggaraan serta sijil PMA eskalator dan lif di semua stesen di bawah tanggungjawab Rapid Rail Sdn. Bhd,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, Rapid Rail juga diarahkan mengambil tindakan penyelesaian jangka pendek untuk memastikan insiden sama tidak berulang di semua stesen kendaliannya.
“APAD tidak akan bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran amalan keselamatan dan menegaskan bahawa mana-mana pengendali yang gagal mematuhi amalan keselamatan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang, termasuklah membatalkan lesen pengendali,” kata agensi itu. – MalaysiaGazette