BUKIT MERTAJAM – Kerani sebuah syarikat swasta mengalami kerugian berjumlah RM465,200 selepas wang miliknya lesap akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan dalam talian.
Mangsa, wanita berusia 47 tahun itu dikatakan mula terjerat dalam sindiket tersebut selepas melihat satu iklan berkonsepkan jual beli saham di Facebook, pada awal Mac lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, mangsa mendakwa telah berhubung dengan seorang suspek wanita untuk bertanyakan mengenai pelaburan itu menerusi aplikasi WhatsApp.
“Wanita itu dijanjikan pulangan keuntungan sehingga 60 peratus daripada wang modal yang dilaburkan dalam tempoh singkat.
“Mangsa yang berminat dengan tawaran pelaburan itu diminta memuat turun aplikasi bernama KLSEC untuk mendaftar sebagai ahli dan memulakan pelaburan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Hamzah, wanita itu kemudian membuat 14 transaksi pemindahan wang ke dalam tiga akaun berbeza berjumlah RM465,200 dan hanya menyedari menjadi mangsa penipuan apabila tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan yang tertera di dalam aplikasi tersebut.
“Mangsa turut diminta menambah wang modal sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan berkenaan.
“Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – MalaysiaGazette















