Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia mengutuk tindakan pihak yang mendalangi perbuatan dan cubaan menghina Sultan Selangor sebagaimana tular melalui akaun Page Facebook ’Nga Kor Ming Super Fans Page’ semalam.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, penghinaan itu dicetuskan pihak terbabit berdasarkan titah Tuanku Sarafuddin Idris Shah agar kerajaan negeri memartabatkan bahasa Melayu.

Katanya, titah baginda itu selaras Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/ 1967, selain keputusan kerajaan Selangor sendiri menetapkan semua papan tanda jalan menggunakan bahasa Melayu.

“Tindakan menghasut dan menghina itu tidak wajar dibiarkan. Tidak cukup sebelum ini penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-Raja Melayu, kali ini masih berlaku lagi dan seharusnya tindakan tegas diambil.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia (Gobind Singh Deo) jangan berdiam diri sahaja. Beliau perlu segera menyiasat pihak terbabit yang menghina Sultan Selangor di media sosial serta menghukumnya dengan sekeras hukuman,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, sama ada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming terlibat secara langsung atau tidak dalam penghinaan itu, siasatan perlu dilakukan segera.

Menurutnya, penghinaan berbaur hasutan itu mengundang perasaan tidak senang hati umat Islam dan orang Melayu yang mungkin boleh mencetus ketegangan kaum jika tidak dibendung.

Nasrul Ali Hasan turut meminta agar siasatan segera dijalankan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar untuk menyebarkan berita dengan niat untuk mengganggu orang lain dan juga boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

“Wira Putra mengingatkan pihak terbabit, jangan sekali-kali menuang minyak ke dalam api dan jangan mencabar rakyat khususnya orang Melayu. Jadilah rakyat bersyukur dan hormatilah ketinggian Perlembagaan Persekutuan yang telah memberikan anda ruang untuk hidup selesa di bumi Malaysia ini,” katanya. – MalaysiaGazette