Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan telah membuat pembayaran faedah sebanyak RM43,023,748.31 kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 1 Oktober lalu bagi pinjaman sebanyak RM4 bilion yang dibuat oleh SRC International Sdn Bhd, kata Menteri Kewangan.

Dengan itu, jumlah pembayaran balik yang telah dibuat oleh Kementerian Kewangan bagi pihak SRC setakat ini adalah sebanyak RM1.73 bilion.

Lim Guan Eng berkata, berdasarkan kepada jadual pembayaran balik, tarikh pembayaran faedah pembiayaan yang berikutnya adalah pada 28 Februari 2020 melibatkan amaun sebanyak RM37,806,311.73.

“Kementerian Kewangan akan memastikan peruntukan secukupnya disediakan bagi menyelesaikan pembiayaan berkenaan berdasarkan jadual pembayaran balik yang telah ditetapkan ke arah kelangsungan dana persaraan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SRC adalah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum ia diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada
tahun 2012.

SRC telah meminjam sebanyak RM4 bilion daripada KWAP dengan jaminan daripada Kerajaan Persekutuan.

Daripada dana RM4 bilion yang dipinjam, sebanyak RM3.6 bilion (AS$1.1 bilion) dipindahkan melalui beberapa anak syarikat luar pesisir kepada beberapa entiti dan bank di luar Malaysia, termasuk BSI Bank di Switzerland (lebih USD800 juta), Bank Julius Baer & Co. Ltd di Hong Kong (AS$ 250 juta) dan sebuah syarikat eksplorasi arang batu di Mongolia (AS$60 juta).

Memandangkan sebahagian besar dana ini telah digunakan di merata dunia, kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk mengembalikan seberapa banyak dana RM4 bilion tersebut, tambah Guan Eng,

Katanya, SRC telah mengalami situasi kewangan yang kritikal sejak tahun 2015, sehingga menyebabkan ia tidak dapat memenuhi obligasi pembayaran pembiayaan dengan KWAP.

Pinjaman RM4 bilion tersebut adalah sebahagian daripada jaminan yang ditanggung dan dibiayai oleh kerajaan.

“Perkara ini telah disembunyikan oleh pentadbiran lama dan hanya didedahkan selepas Kerajaan Persekutuan bertukar pada 9 Mei 2018,” ujar beliau. – MalaysiaGazette