KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menafikan dakwaan pakar sakit puan terkenal, Dr. Hamid Arshat yang pihaknya bertindak kasar ketika membuat serbuan.
Menurut pengarah kesihatan negeri, Dr. P. Param Jeeth Singh, siasatan awal mendapati premis tersebut disahkan memiliki dan menjual produk sasaran berdasarkan belian percubaan (test buy) berserta resit bayaran.
“Meskipun produk tersebut didapati tiada lagi di premis ketika pemeriksaan dijalankan, bahan iklan berbentuk risalah produk tidak berdaftar tersebut telah ditemui di premis terbabit.
“Pemeriksaan tersebut telah dijalankan dengan penuh berhemah dan beretika serta dalam keadaan yang tenang. Tidak berlaku sebarang kucar-kacir atau kekasaran seperti yang dilaporkan di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjawab dakwaan Hamid yang mendakwa kakitangan KKM didakwa menyelongkar pejabat tanpa pengetahuannya.
Pada kejadian Rabu lalu, menurutnya, pejabatnya di 75M , Plaza Damansara diselongkar tanpa notis dan tujuan sebenar.
“Tanpa notis dan tanpa jelas apa tujuan, mereka datang dengan mengejut seolah-olah saya seorang penjenayah.
“Pada hal saya telah berkhidmat sebagai doktor hampir 50 tahun dan sebagai pakar bidan selama 43 tahun,” katanya dalam laman sosialnya hari ini.
Menjawab mengenai itu, Param berkata, fasiliti tersebut tidak pernah berlesen dengan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) KKM sejak ia ditubuhkan.
“Meskipun banyak perbincangan dan usaha oleh CKAPS untuk memudahcara perlesenan premis ini, namun pemilik masih tidak dapat memenuhi syor yang diberi supaya ianya dapat dilesenkan sebagai fasiliti kesihatan swasta berlesen yang sah,” katanya.
Dalam pada itu, CKAPS pada 26 Februari 2016 telah mengeluarkan satu surat arahan supaya premis ini menghentikan operasi perkhidmatan kesihatan.
Param turut memberitahu sesiapa yang memiliki atau menjual produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan KKM telah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. – MalaysiaGazette