Rafizi Ramli PKR Deputy President
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Sejak pengumuman dividen dua peratus Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pihak pembangkanhg berlumba-lumba menunjukkan kebodohan.

Itu kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Menurutnya, mereka dari UMNO dan Pas menunjukkan kebodohan kerana ingin membandingkan prestasi dividen itu dengan dividen yang lebih tinggi semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dahulu.

“Saya kata mereka ini berlumba menunjukkan kebodohan kerana jelas sama ada mereka tidak faham laporan juru audit dari Ernst & Young. Kebanyakannya tidak mahu membaca pun laporan juru audit mengenai kedudukan kewangan LTAT setelah dijarah oleh Najib,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengambil laporan juru audit Tetuan Ernst & Young, katanya, terdapat tujuh penemuan utama yang berlaku akibat penyelewengan dan kelemahan kewangan:

Pertama, pendapatan terkumpul (retained earnings) telah terjejas berikutan bayaran berlebihan, kedua ialah pembohongan nilai aset LTAT antara tahun 2015 dan 2017 manakala ketiga, semakan kewangan (due diligence) tidak dilaksanakan dengan betul.

Keempat pula ialah aset harta tidak terjual, kelima ialah risiko isu pendedahan kewangan yang berlebihan dalam beberapa syarikat tertentu dan kecairan sejak tahun 2014 dan dan keenam dividen tertunggak daripada anak-anak syarikat yang sebenarnya tidak dibayar.

Ketujuh, kurangnya kawalan dalam unit amanah.

Justeru Rafizi menegaskan, kedudukan kewangan LTAT terjejas teruk gara-gara pentadbiran korporat ala Najib-Rosmah yang mengumumkan dividen untuk menyedapkan hati rakyat sedangkan syarikat-syarikat LTAT rugi.

Selain itu, untuk menutup kedudukan kewangan sebenar LTAT, anak-anak syarikat dipaksa mengumumkan dividen sedangkan anak-anak syarikat itu tiada wang pun untuk membayar dividen. Akhirnya dividen atas kertas tetapi wang tiada.

“Saham-saham dalam syarikat yang untung dijual untuk mendapatkan keuntungan sementara bagi menutup lubang rugi keseluruhan dan LTAT rugi besar apabila membeli syarikat pada harga yang tinggi dan dijamin boleh dijual kembali kepada tuan punyai sekiranya nilai jatuh,” kata Rafizi.

Akhirnya nilai jatuh dan tidak boleh dijual kepada tuan punya kerana tuan punya jatuh muflis. LTAT tutup pula kerugian ini dengan tidak menunjukkan nilai sebenar walaupun syarikat itu sudah tiada nilai, katanya.

“Unit kondominium yang belum dijual sepenuhnya diumumkan telah dijual untuk menunjukkan ada jualan dan ada untung, sedangkan wangnya tiada kerana belum dijual sepenuhnya

“Najib dan sepupunya (Datuk Seri) Hishamuddin (Hussein) boleh membodohkan rakyat yang mahu dibodohkan kerana taksub dengan kepartian dan perkauman.

“Sebab itu timbul beberapa jenis bodoh baru ekoran pendedahan kedudukan kewangan LTAT ini kerana orang menyeleweng yang menggunakan kebodohan untuk selamat.

“Contohnya Najib dan Hishamuddin. Pelbagai harta rakyat di bawah LTAT hilang di bawah pentadbiran sepupu sepapat ini tetapi mereka tahu mereka boleh membodohkan segelintir orang untuk selamat.

“Kedua, orang yang dibodohkan kerana taksub dengan kepartian sehingga tidak mahu menerima segala fakta dan laporan audit bebas. Contohnya orang-orang UMNO yang masih rindukan Najib dan Rosmah.

“Bukan saja laporan, malah dalam tahun 2016 dahulu pencen dan gratuiti pesara tentera pun lambat dibayar kerana masalah aliran wang tunai LTAT sehingga saya terpaksa bersuara dan ditahan. Bukti sudah dirasai sendiri oleh pesara tentera tetapi ramai juga jenis bodoh yang sebegini,” katanya.- MalaysiaGazette