KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Ervin Boban mengingatkan anak buahnya untuk mengerah segala kudrat yang ada apabila turun beraksi pada final pertama Piala Cabaran 2019, malam ini.

Berdepan finalis musim lalu, UKM FC pastinya bukan sesuatu yang mudah buat JDT II yang mengintai kejuaraan pertama memandangkan skuad lawan kendalian Sulaiman Hussin itu mampu untuk mencipta kejutan.

Bagaimanapun, Boban menggesa semua pemainnya bekerja lebih keras kerana inilah masanya untuk mereka memiliki trofi pertama dalam karier buat pasukan.

Semangat mereka lebih membara selepas hasrat untuk mengungguli Liga Premier musim ini dinafikan Sabah yang berjaya menduduki takhta teratas liga.

“Daripada awal musim lagi apabila liga bermula, kami memang nak menang trofi, namun beberapa perlawanan terakhir kami gagal untuk konsisten dan akhirnya Sabah berjaya menjuarai Liga Premier musim ini.

“Sekarang hanya tinggal satu trofi sahaja lagi yang ada iaitu Piala Cabaran dan inilah satu-satunya peluang untuk kami memenangi trofi itu.

“Saya boleh janjikan pemain-pemain akan memberikan lebih 100 peratus di atas padang dan akan melakukan yang terbaik bagi mengatasi UKM pada malam ini”, katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast