KUALA LUMPUR – Kes bekalan air berbau menunjukkan pemulihan dengan hanya 15 aduan diterima dari jam 12 tengah malam sehingga jam 10 pagi ini, demikian dilaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, perkembangan itu berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan di kolam perkhidmatan dan sistem perpaipan di 33 kawasan yang merekodkan aduan berkenaan.

“Berdasarkan ujian pensampelan yang dijalankan ke atas aduan yang diterima itu selain pemeriksaan di kolam perkhidmatan dan sistem perpaipan, air yang dibekalkan didapati selamat digunakan dan mematuhi piawaian parameter fizikal Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pihak kami membuat pemantauan dan pemeriksaan berterusan ke atas semua aset, kolam perkhidmatan dan sistem agihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Air Selangor turut melaksanakan aktiviti pencucian secara berterusan bagi memastikan air yang dibekalkan selamat digunakan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Air Selangor melalui kenyataan media sebelum ini melaporkan telah menerima sejumlah 1,293 aduan bekalan air berbau di 33 kawasan bermula dari 29 Sept lepas.

Air Selangor komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan namun memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi. – Bernama