Maszlee Malik

KUALA LUMPUR- Bagi meningkatkan integriti dalam kalangan akademia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mahu Akta Badan-Badan Berkanun Tatatertib dan Surcaj 2000 (Akta 605) ditafsir semula.

Menterinya, Maszlee Malik berkata, kementerian ketika ini sedang bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia untuk melakukan penafsiran semula akta berkanaan.

“Kita di KPM sedang usahakan dengan JPA untuk ada pentafsiran kepada Akta 605.

“Akta ini sebenarnya adalah untuk kakitangan kerajaan tetapi bagi akademia kami mahu perincian mengenai integriti ditambah.

“Kebelakangan ini, kita dapati isu integriti sedang diberi penekanan penting di universiti-universiti terutama dalam mengelakkan plagiarism, bonceng gratis dan pelbagai aktiviti yang bersalahan dengan aktiviti akademik sendiri.

“Kalau lihat mula 2018 di pihak pengajian tinggi kita telah tubuhkan jawatankuasa integriti yang mana segala kes berkaitan integriti di universiti dibawa ke jawatankuasa ini.

“Saya sendiri telah lihat mereka mengendalikan beberapa kes dan menyelesaikan kes-kes tersebut,” katanya ketika melancarkan Hari Akademia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee turut menyeru warga akademia untuk sama-sama turun ke lapangan bagi mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah rakyat.

Katanya, sudah tiba masanya para cendikiawan menjalankan tugas masing-masing untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat dan membawa mereka keluar daripada kegelapan.

“Kita tidak mahu mereka hanya menjadi cendekiawan yang hanya mementingkan “menara” (gading) tetapi kita juga mahu mereka juga menjadi “cendekiawam” yang bergelumang dengan isu-isu masyarakat dan sama-sama membimbing mereka serta mencari solusi kepada semua permasalahan rakyat,” katanya.

Ini merupakan kali pertama Malaysia menyambut Hari Akademia bagi mengangkat pendekmorasian akademik dan mengiktiraf sumbangan seluruh kakitangan akademik dalam pembangunan ilmu dan kemajuan negara.

Tarikh 5 Oktober dipilih sebagai Hari Akademia peringkat kebangsaan sempena Hari Guru Dunia UNESCO.- MalaysiaGazette