Kanakorn Pianchana. foto Agensi

BANGKOK – Seorang hakim Thailand menembak dirinya selepas menyampaikan ucapan luar biasa berhubung sistem keadilan negara ini.

Kanakorn Pianchana telah membebaskan lima tertuduh Islam daripada pertuduhan membunuh pada Jumaat lalu sebelum menggesa penghakiman yang lebih adil.

Ucapannya disiarkan secara langsung di Facebook.

Beliau kemudian membaca sumpah undang-undang dan kemudian mengeluarkan pistol lalu menembak ke arah dadanya.

Tetapi hakim itu dilaporkan selamat selepas dikejarkan ke hospital.

Keadaan Pianchana yang bekerja di mahkamah Yala di selatan Thailand semakin pulih.

Kenyataan yang dipercayai telah ditulis oleh hakim sebelum memberi keputusannya menunjukkan percubaan bunuh diri itu mungkin berkaitan dengan gangguan berlaku dalam kes tersebut.

“Anda memerlukan bukti yang jelas dan boleh dipercayai untuk menghukum seseorang, jadi jika anda tidak pasti, jangan menghukum mereka.

“Saya tidak mengatakan bahawa lima defendan tidak melakukan jenayah, mereka mungkin berbuat demikian.

“Tetapi proses kehakiman perlu telus dan boleh dipercayai … menghukum orang yang salah menjadikan mereka kambing hitam,” katanya. – MalaysiaGazette