Mohd Ashraf Mustaqim

TANGGAL 6 Oktober 2019 tentunya meningggalkan kesan yang bukan sedikit kepada orang Melayu bersempena berlangsungnya Kongres Maruah Melayu yang menyaksikan barisan kepimpinan parti-parti Melayu yang tentunya berpaksikan agama Islam berganding bahu.

Pada tarikh ini umat Melayu dapat melihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan pemimpin-pemimpin lain mengangkat tangan bersama-sama – senada dalam satu matlamat iaitu meletakkan martabat Melayu pada ‘mimbarnya’.

Paling penting iktibar agenda hari ini adalah dalam keadaan apa sekali pun hanya Melayu yang mempunyai tongkat sakti untuk menentukan nasib Melayu, tentunya menerusi penyatuan jagat Melayu untuk mendepani segenap cabaran, sama ada di padang tempatan mahu pun antarabangsa.
.
Ini bertepatan dengan amanat Dr. Mahathir yang mengingatkan orang Melayu agar bangkit bersatu menguasai segenap bidang membangunkan bangsa dan negara merebut peluang tanpa ada rasa takut serta tidak mengetepikan hak orang lain .

Pemimpin jiwa berjiwa besar itu berulang kali menegaskan keyakinannya bahawa orang Melayu akan berjaya jika menggunakan setiap peluang yang ada dengan sebaiknya, sanggup meneroka pekerjaan yang menuntut kudrat tulang empat kerat serta menguasai  segenap cabang iktisad.

Dengan kesungguhan dan kemahuan untuk berjaya tanpa perlu bergantung kepada bangsa-bangsa lain maka sudah tentu tiada siapa boleh menjatuhkan maruah Melayu.

Kesanggupan untuk berusaha adalah perkara utama dalam usaha pemulihan maruah bangsa Melayu! Tanpa membiarkan ‘tangan-tangan lain’ mengambil peranan secara total dalam aspek pembangunan negara bangsa lantas membangkitkan citra dalam realiti semasa, Tun mengingatkan kita agar tidak terlalu bersentimental dan dibelenggu dengan kisah kegemilangan lalu melainkan menjadikannya suatu azimat untuk membuktikan bahawa di era ini, bangsa Melayu mampu kembali bangkit mencipta kegemilangan.
.
Dalam pada itu, kongres ini wajar dilihat sebagai sebuah manifestasibetapa hebatnya budaya politik orang Melayu sebagai bangsa teras negara Malaysia. I

Apa yang berlaku di Stadium Tertutup Malawati hari ni adalah terjemahan bahawa orang Melayu mampu bertekad jiwa menginsafi kelalaian kita di sebalik hakikat Melayu sebuah bangsa yang terbilang dan berjiwa besar serta boleh mencari titik kebersamaan demi ‘etnosentrisme Melayu’ menjaga kemaslahatan pusaka tercinta ini.

Mesej ini jelas buat sesiapa saja yang ingin menidakkan bahawa orang Melayu boleh bersatu! Hakikatnya telah berkali-kali bani Melayu membuktikan kita sanggup bersatu dan mendepani gelombang demi kedaulatan agama, bangsa dan tanahair.
.
Oleh itu jangan sama sekali, sesiapapun menduga keutuhan jiwa anak Melayu apatah lagi yang berpegang teguh dengan Wasiat Raja-Raja Melayu dan Sumpah Melayu itu sendiri, yang mendaulahkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Maka dengan ini, sempena tarikh keramat yang menjadi sejarah ‘kasih anak Melayu’ era pascamodenisme, suka untuk dimadahkan kembali ikrar anak watan atau Sumpah Melayu yang dinukilkan oleh Dato’ Onn Jaafar
.
Sumpah dibacakan pada 10 Februari 1946 bersamaan 8 Rabi’ulawal 1365H, bila mana orang Melayu di seluruh negara telah diajak untuk berhimpun secara besar-besaran di Batu Pahat bagi melakukan upacara mengangkat sumpah dan berbincang soal hala tuju anak Melayu, persis Kongres Maruah Melayu yang jelas menunjukkan betapa besarnya jiwa para pemimpin Melayu yang berbeza parti pada hari ini.
.
Ianya merupakan ikrar yang dinukilkan Dato’ Onn dengan mengandungi agenda atau garis panduan yang diharap wajib dipatuhi dan ditaati oleh kesemua jagat Melayu bagi membentuk dan mengekalkan ketamadunan bangsa, demikianlah tekad ‘SUMPAH MELAYU’;
.
“…KAMI, umat Melayu beragama Islam pada hari ini berjanji tidak akan berhasad dengki, khianat dan iri hati, bertelagah dan berbalah sama sendiri. KAMI berjanji akan bersatu padu dan patuh menegakkan agama Islam. KAMI juga berjanji akan bekerja kuat untuk menyara diri dan keluarga kami.

KAMI sedia bersaing sesama umat Melayu dan kaum-kaum lain dengan jujur dan terhormat.

KAMI umat Melayu bersumpah setia untuk:

Mempertahankan kepentingan dan hak Melayu;

Mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu;

Memperjuangkan ikhtisad dan pelajaran bangsa Melayu; dan

Mempertahankan maruah Negara supaya aman sejahtera…”
.
Terus terang, sepertimana Almarhum Dato’ Onn, sebegitu juga Tun Dr. Mahathir, jika dinilai tidak ramai pemimpin Melayu yang mampu memainkan peranan dengan cukup besar memanggil dan menghimpunkan, menyatukan anak Melayu demi kasih dan cinta merubah destini anak bangsa!
.
BERSATULAH MELAYU.

— MOHD ASHRAF MUSTAQIM BIN BADRUL MUNIR merupakan Exco ARMADA Nasional