SHAH ALAM – Kongres Maruah Melayu (KMM) adalah untuk mengingatkan bangsa lain bahawa Tanah Melayu yang bernama Malaysia adalah milik orang Melayu.
Ketua Eksekutif KMM, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berkata, sikap baik budi orang Melayu sejak sekian lama menyebabkan ada pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menindas dan menafikan hak bangsa ini.
“Sebagai bangsa Melayu, kita telah bermastautin di sini sekian lama, membina kedaulatan kita dan membina Tanah Melayu sekian lama.
“Dengan budi baik kita, dengan nilai baik kita, kita membenarkan negara kita ini diperintah dan ditadbir oleh orang lain, kemudian kita tuntut kembali negara ini dengan nama kemerdekaan.
“Apa yang kita tuntut ialah untuk mengembalikan kedaulatan kita dan kekuasaan kita,” kata berucap pada program Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Shah Alam di sini, hari ini.
Menurut Dr. Zainal, orang Melayu merima kemasukan orang lain dan memberikan taraf kewarganegaaraan dengan harapan dapat menjalani kehidupan bermajmuk.
Namun, katanya, ada dalam kalangan mereka ini mengambil kesempatan untuk mencabuli Perlembagaan Negara yang dimeterai pemimpin terdahulu.
Katanya, golongan itu cuba menafikan hak keistimewaan orang Melayu, menafikan Islam aga Persekutuan dan ada antaranya menghina Raja-Raja Melayu.
“Ini yang kita tuntut, supaya beberapa bahagian yang telah dicabul dalam Perlembagaan Persekutuan dipertahankan.
“Dalam budi baik orang Melayu ada orang mempermainkan kita, ada orang yang mengeji raja kita dan berpaling tadah dari kontrak sosial yang kita bina sebagai perundangan asas yang dinamakan Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka sering melanggar baik budi kita dan ada yang menafikan kontrak sosial yang kita meteraikan,” katanya.
Beliau mengajak orang Melayu mengambil peringatan bahawa perjanjian untuk orang lain mendapatkan kerakyatan dan kewarganegaraan itu adalah dengan budi baik bangsa Melayu yang sudah mewarisi negara ini selama lebih 5000 tahun. – MalaysiaGazette