Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri perlu mengambil langkah drastik dengan menyingkirkan DAP dan segelintir pemimpin rasis dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam usaha memulihkan maruah Melayu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, gesaan itu dibuat berdasarkan tindakan-tindakan mereka yang mencalar dan mencabar kepentingan orang Melayu.

Beliau menggariskan 10 alasan tersebut termasuk keangkuhan pimpinan DAP dan PKR yang hampir-hampir berjaya membawa negara meratifikasi konvensyen antarabangsa ICERD, walaupun jelas bercanggah dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Malah, katanya, tindakan pimpinan DAP dan PKR yang berjaya mempengaruhi kerajaan sehingga menandatangani Statut Rom sebelum ditarik balik akibat desakan rakyat, yang jelas menghakis kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu.

Asyraf berkata, penguasaan pemimpin kanan DAP dalam Kementerian Kewangan seperti Lim Guan Eng selaku Menteri dan Tony Pua Setiausaha Politik, telah ditanggapi umum banyak menghakis kepentingan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera.

Sebagai contoh penjualan aset-aset strategik milik institusi Bumiputera-Islam dan tender terbuka yang dilaksanakan di semua peringkat perolehan kerajaan telah membataskan ribuan kontraktor Bumiputera yang sering berhadapan dengan kekangan modal dan aliran tunai.

Selain itu, tambahnya, penghinaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, sekali gus membelakangi Perlembagaan Persekutuan yang disepakati bersama apabila keangkuhan pemimpin-pemimpin Cina dan India daripada DAP dan PKR sewenang-wenangnya menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil dalam surat menyurat, memo dan kenyataan-kenyataan rasmi kerajaan.

“Kenyataan rasis berupa penghinaan kepada bangsa Melayu tanpa rasa bersalah oleh Menteri DAP, M Kulasegaran yang mendakwa orang Melayu adalah kaum pendatang di negara ini pada 21 Julai 2018 dan sekali lagi dalam ceramah beliau yang tular sempena kempen PRK N27 Rantau di hadapan pengundi-pengundi berbangsa India, menuduh bahawa bangsa Melayu telah mendiskriminasi orang-orang India.

“Pemimpin DAP, YB Ngar Kor Ming telah membakar sentimen kaum dengan mendakwa kerjasama orang Melayu yang dizahirkan oleh dua parti terbesar mewakili Melayu UMNO-PAS bakal membentuk Kerajaan Taliban seperti di Afghanistan jika berjaya tubuh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Manakala Chong Chien Jen pula bersetuju dan menyokong kenyataan Kor Ming bahawa penyatuan Melayu bakal membentuk Kerajaan Taliban sekiranya menang PRU seterusnya telah mencetuskan perasaan takut, rasis dan prejudis di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap orang Islam di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Mengkibol, Chew Chong Sin mengaitkan insiden pembunuhan tragik di sebuah masjid di Christchurch oleh ekstrimis kulit putih dengan penyatuan orang Melayu melalui kerjasama UMNO-Pas untuk menambahkan lagi perasaan perkauman dan prejudis agama di kalangan rakyat bukan Melayu dan Islam.

Sementara, Ahli Parlimen Kluang DAP, Wong Shu Qi pula menghina orang Melayu dan cuba membakar kebencian di kalangan orang Cina dengan mengaitkan tulisan Jawi dengan bahan-bahan pornografi dan lucah.

Tambah Asyraf lagi, Guan Eng turut mencetuskan api kebencian dan perkauman dengan mendakwa permuafakatan Melayu UMNO dan Pas jika berjaya dibentuk akan mengambil hak-hak orang bukan Melayu di Malaysia.

“Berdasarkan alasan-alasan di atas, maka Pemuda UMNO sekali lagi menggesa agar Tun Mahathir Mohamad dapat melakukan tindakan yang betul pada kali ini sebelum terlambat untuk menyatukan semula orang Melayu ….demi mengembalikan maruah Melayu sebagaimana yang diucapkan dalam Kongres Maruah Melayu hari ini!,” ujarnya. – MalaysiaGazette