Shahrol Azral Ibrahim Halmi

KUALA LUMPUR – Perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masuk hari ke-17 hari ini menyaksikan saksi ke-9, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi disoal balas oleh peguam bela yang membabitkan kes penyelewengan dana sebanyak RM2.3 bilion.

Shahrol yang merupakan bekas Ketua Eksekutif 1MDB ketika di soal oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah banyak memuji ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Shahrol memberitahu, beliau mula mengenali Jho Low sekitar tahun 2007 ketika lelaki berumur 26 tahun itu menghubunginya terlebih dahulu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Sebenarnya Jho Low menyukai saya kerana saya jenis yang bukan kaki ‘kepochi’ atau perkataan paling tepat adalah busy body,” katanya.

Shafeel: Jadi anda bukan busy body?

Shahrol: Ya, itulah gambaran untuk perkataan ‘kepochi’ itu.

Shafee: Jadi Jho Low sedia maklum tentang perwatakan anda yang melakukan tugasan tanpa mahu mengetahui matlamat asal?

Shahrol: Itu tidak betul, saya sebenarnya akan ambil maklum tentang matlamat sehingga tercapainya agenda itu. Tetapi apa yang lebih daripada agenda matlamat itu, saya tidak ambil pusing.

Shahrol juga secara berjenaka mengatakan beliau tidak mempunyai sikap yang bertanyakan ‘itu dan ini’ terutamanya tentang peribadi seseorang contohnya seperti umur seseorang termasuk ketika pertemuan dengan Jho Low pada masa itu.

Jho Low juga dakwa Shahrol sebagai seorang yang bijak pandai, cepat memahami sesuatu keperluan dengan tepat dan pantas, selain kemampuan untuk berbicara dengan begitu fasih dan baik.

Bagaimanapun kata Shahrol, Jho Low juga suka datang lambat dan tidak tepati masa.

Terdahulu, Shahrol memberitahu beliau merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (RMC) di Sungai Besi antara 1983 sehingga 1987.

Untuk seketika bilik bicara gamat sebentar apabila Shahrol mendedahkan beliau  merupakan pelajar terbaik yang memperoleh A1 dalam semua mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia kecuali subjek Bahasa Malaysia yang hanya mendapat kredit 6 sahaja.

Shahrol kemudian  melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1988 bermula dengan pra-universiti di sebuah institusi di Los Angeles sebelum menyambung pengajian di Stanford University.

Kes 1MDB ini membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhadapan dengan 21 pertuduhan lain termasuk penggubahan wang serta salah guna kuasa membabitkan dana yang sama.

Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah. – MalaysiaGazette