KUALA LUMPUR – Pandangan dari luar tidak menampakkan hotel ini kelihatan mewah.
Namun tidak salah sekadar mencuba dan merasai pengalaman menginap di The Pearl Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Klang menuju ke pusat bandar raya.
Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke ruang lobi, pengunjung disambut dengan senyuman mesra para petugas di kaunter mendaftar masuk.
Lebih teruja apabila proses daftar masuk hanya mengambil masa yang singkat apatah lagi badan sudah terasa letih sambil membayangkan dapat berehat seketika di atas tilam katil yang empuk.
The Pearl Kuala Lumpur yang bertaraf empat bintang memiliki 555 bilik bercitarasa dan konsep moden dengan pemandangan bandar di mana mempunyai tempat simpanan barangan peribadi selain peti keselamatan di dalamnya.
Bagi memberikan keselesaan dan kepuasan kepada pengunjung, kesemua bilik di hotel ini dilengkapi dengan televisyen LCD dan WiFi percuma.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga tidak perlu pening kepala kerana kemudahan tempat letak kereta yang luas turut disediakan dengan kadar tetap RM3.
Ini kerana pihak hotel amat menitik beratkan kemudahan kepada pengguna bagi memastikan mereka berpuas hati dengan jumlah wang yang dibayar untuk menginap di hotel ini.
Sebagai bonus tarikan, ia terletak dalam jarak waktu 10 minit dari bandar Kuala Lumpur yang memudahkan urusan pengunjung pergi ke pusat membeli-belah Midvalley selain ke Lapangan Terbang Subang dan Taman Tema Sunway Lagoon serta melakukan aktiviti harian seperti urusan di bank yang berdekatan.
Sementara itu, The Pearl Kuala Lumpur turut menyediakan perkhidmatan lain seperti pakej program peribadi, seminar dan mesyuarat serta perkahwinan dengan harga berpatutan.
Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai hotel ini boleh melayari laman web www.pearl.com.my.
Ketika ini The Pearl Kuala Lumpur sedang mengadakan promosi harga bilik serendah RM322 bagi dua malam termasuk sarapan untuk dua orang sehingga 31 Oktober ini.
Pakej promosi ini turut merangkumi minum petang percuma di Executive Lounge sambil menikmati panorama indah dari Tingkat 23. – MalaysiaGazette