Para peserta Kongres Maruah Melayu mendengar ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menteri tertentu dalam Kongres Maruah Melayu menyebabkan ada rakyat yang beranggapan bahawa kerajaan menyokong tindakan provokasi emosi kaum dalam majlis itu.

Kongres itu juga dilihat oleh dua persatuan Cina iaitu Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) sebagai membarakan lagi semangat golongan ekstremis kaum selain memecahkan masyarakat majmuk Malaysia.

Dua pertubuhan itu pada masa yang sama menggesa kerajaan memandang berat realiti bahawa negara ini dibentuk masyarakat pelbagai kaum.

Mereka juga meminta kerajaan mentadbir negara mengikut kesederhanaan.

“Dong Zong dan Jiao Zong menggesa kerajaan supaya memisahkan diri daripada persidangan yang menggalakkan emosi kaum.

“Kerajaan harus mengambil tindakan tegas untuk mencegah kenyataan dan tindakan ekstrem yang semakin berleluasa,” kata kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong seperti dipetik Kwong Wah Yit Poh.

Kenyataan itu antaranya mengutarakan bahawa kenyataan dalam kongres untuk menghapuskan sekolah pelbagai aliran sebagai ekstrem .

“Daripada membincangkan isu Melayu, kongres dilihat lebih cenderung kepada membangkitkan syak wasangka dan salah faham antara kaum.

“Ia menyebabkan perpecahan dan penentangan antara kaum untuk mencapai matlamat politik,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Goh Tian Chuan berkata, usul pendidikan satu aliran dan jawatan penting diisi orang Melayu telah mengabaikan faktor kemajmukan dalam Malaysia.

Beliau berkata, bukan Melayu tidak mempertikaikan Raja Berperlembagaan dan hak istimewa Melayu termasuk kedudukan rasmi bahasa Melayu dan Islam, tetapi bukan Melayu juga dilindungi Perlembagaan dan kontrak sosial.

“Kami tiada hak untuk menghalang usul tertentu diluluskan dalam Kongres Maruah Melayu, tetapi kami berhak untuk menyuarakan perasaan dan menyatakan tidak bersetuju,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette