KUALA LUMPUR – Rakyat Sabah dan Sarawak sepatutnya dimasukkan dalam skim Program Subsidi Petrol (PSP) kerana mereka antara penyumbang terbesar hasil ekonomi negara.

Ketua penaja Pergerakan Wirawati Putra Malaysia (Putra), Dr. Asmah Razalli berkata, menafikan hak mereka sama seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) menganggap rakyat di kedua negeri itu tidak wujud.

Selain itu, katanya, kerajaan juga dilihat tidak ikhlas membantu rakyat dengan PSP apabila golongan yang layak hanya diberikan RM30 petrol bagi yang memiliki kereta, manakala RM12 untuk yang mempunyai motosikal.

“Kita harap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengemaskinikan semula kriteria penerima subsidi itu supaya tiada ketirisan berlaku seperti Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Kenapa perlu ada sekatan pada rakyat antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sedangkan mereka juga warganegara yang banyak menyumbang pertumbuhan ekonomi negara.

“Segala bentuk subsidi termasuk petrol boleh dilaksanakan hasil dari penjanaan ekonomi seperti cukai permerolehan petroleum dan sewajarnya hasil itu turut disalurkan kepada mereka (rakyat Sabah dan Sarawak),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Merujuk kenyataan menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beliau berkata, subsidi petrol yang bakal diberikan itu jauh lebih rendah daripada sedia ada ketika di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).

Kata Dr. Asmah, walaupun secara kasar kelihatan PSP itu logik, namun jumlah subsidi dan penerimaan bantuan itu tidak menyeluruh dengan kadar statistik penggunaan kereta dan motosikal di seluruh negara.

Bahkan, menurutnya, bantuan jauh terlalu rendah berbanding kadar penggunaan purata kadar isian minyak bulanan pengguna. – MalaysiaGazette