Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Agama Islam memperuntukkan kaum yang mendominasi sesebuah negara diberikan kuasa memerintah bagi mewujudkan kestabilan.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, parti itu merasakan kaum majoriti adalah lebih layak memimpin sesuatu kerajaan dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum.

“Saya fikir dominasi kerajaan mestilah daripada kaum majoriti. Itu saja. Sekiranya dominasi ada, tidak akan timbul pelbagai perspektif dan ini (masalah) yang timbul hari ini.

“Dalam Islam pun, Nabi suruh lantik kaum yang mendominasi untuk mengetuai negara bagi mewujudkan kestabilan. Kegelisahan itu dapat dilihat hari ini,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut ditanya mengenai pelawaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan agar Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan bersama UMNO dan Pas.

Ujarnya, ia adalah satu penyelesaian yang ditawarkan oleh Mohamad dan terpulang kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mempertimbangkannya.

Tuan Ibrahim berkata, kerajaan yang dipimpin bukan kaum yang mendominasi negara akan menimbulkan pelbagai masalah.

“Terpulang kepada Tun Dr Mahathir untuk terima atau tidak,” katanya.

Dr. Mahathir hari ini berkata, beliau tidak berminat untuk menubuhkan kerajaan baharu bersama UMNO, BN dan Pas kerana ia sukar dilakukan dalam negara pelbagai kaum dan agama. -MalaysiaGazette