QUITO – Presiden Ecuador, Lenin Moreno mengarahkan perintah berkurung di sekitar bangunan kerajaan selepas berlaku demonstrasi menentang penarikan semula subsidi minyak bertukar ganas.
Moreno yang berdepan dengan cabaran besar menjelang 2 1/2 tahun memerintah, memindahkan operasi sementara kerajaan di bandar Guayaquil.
Dalam dikri bertulisnya, Moreno memerintahkan pergerakan terhad berhampiran bangunan kerajaan dan perintah berkurung antara jam 8 malam hingga 5 pagi dikuatkuasakan.
Kerajaan sedang mendapatkan pengantara daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Gereja Katolik dalam menangani protes rakyat.
“Kami menggalakkan dialog sebagai usaha dalam mencari kesepakatan yang sepatutnya menjadi keutamaan demi kepentingan negara dan keamanan sosial,” kata Moreno.
Protes bercetus pada Khamis lalu selepas kerajaan memutuskan untuk memotong subsidi minyak sebagai salah satu pakej pembaharuan ekonomi, selain untuk membayar pinjaman Dana Kewangan Antarabangsa berjumlah AS$4.2 bilion.
Setakat ini polis telah menahan 680 orang, termasuk penyokong-penyokong bekas Presiden Ecuador, Rafael Correa. – MalaysiaGazette