Serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada tahun 2014.

SYDNEY – Australia dan Belanda ‘tidak akan berhenti’ selagi mereka berasa keadilan tidak ditegakkan dalam insiden pesawat MH17 ditembak jatuh, kata Perdana Menteri Belanda.

Mark Rutte bertemu Perdana Menteri Australia, Scott Morrison hari ini dengan insiden yang berlaku pada 2014 membabitkan pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines turut menjadi agenda pada perbincangan perdagangan dua hala, lapor The West Australian.

Pada Jun lalu pasukan penyiasatan antarabangsa mengenai insiden itu mengumumkan dakwaan melakukan pembunuhan ke atas tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine berikutan peranan mereka dalam serangan yang mengakibatkan kesemua 298 penumpang dalam pesawat itu terbunuh.

Rutte berkata, ia akan mengambil masa yang lama untuk mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan namun Australia dan Belanda serta rakan-rakan dalam pasukan siasatan bersama ‘kekal’ akan meneyelesaikan kerja itu.

“Tiada jaminan pada masa ini individu akan dipenjarakan jika ia adalah kesimpulan kes mahkamah,” katanya kepada pemberita.

“Bagaimanapun saya boleh jamin anda satu perkara bahawa kami tidak akan berehat sebelum kes mahkamah ini ditutup yang mana kami semua rasa keadilan telah ditegakkan,” katanya.

Sementara itu, Morrison berkata, mereka akan berganding bahu untuk menegakkan keadilan selama mana masa diperlukan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast