Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Seri Shahril Ridza Ridzuan berkata, tidak ada kerajaan yang boleh melanggar kontrak atau perjanjian yang dibuat dengan syarikat-syarikat konsesi.
Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR – Transaksi berterusan yang dijalankan oleh Khazanah Nasional Bhd adalah urusan perniagaannya yang melibatkan pelaburan dan kemudiannya mengembalikan modal untuk pelaburan baru, kata Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Hasil daripada pelupusan aset akan digunakan untuk membayar hutang matang Khazanah dan membiayai pelaburan baharu, katanya.

Menolak tuduhan bahawa sayap pelaburan negara itu menjual aset negara dan mengumpul hutang, Shahril Ridza berkata, fokusnya dalam jangka masa terdekat adalah untuk melaksanakan keutamaan strategiknya seperti yang dipersetujui oleh lembaga pengarah.

Mengenai kritikan bahawa penjualan Khazanah tidak tepat kerana nilai aset belum direalisasikan, beliau menegaskan bahawa keputusan sama ada untuk melupuskan aset atau tidak dibuat selepas sasaran pelaburannya dipenuhi.

“Ia sentiasa dibuat secara komersial. Ini bermakna kami akan mempertimbangkan sama ada lebih baik untuk memegang aset dengan menjangkakan dividen masa depan dan peningkatan nilai atau menjual dan menggunakan hasil untuk membuat pelaburan baru,” kata Shahril Ridza kepada Bernama.

Tambahnya, sebagai dana kekayaan Malaysia, objektif utama Khazanah adalah untuk melabur bagi tujuan menjana pulangan kewangan jangka panjang.

“Berikutan itu, semua peluang untuk pelupusan aset ditaksir secara kes demi kes terhadap sasaran kewangan dan strategik dan bergantung kepada masa dan kekuatan pasaran serta ketersediaan, kualiti dan kredibiliti pembeli.

“Khazanah akan mempertimbangkan cadangan yang boleh dipercayai untuk memperoleh aset kami dari semua pihak yang berminat, selagi tawaran memenuhi objektif pelaburan dan urus niaga dilaksanakan mengikut amalan terbaik pasaran untuk memastikan ketelusan penuh untuk semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast